utama

'Kau masuk baris cepat...gerak'

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: 'Kau masuk baris cepat...gerak'. Itu antara kata-kata dan 'jeritan' guru wanita kepada seorang kanak-kanak dalam kejadian yang dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Jalan Kebun, di sini, hari ini.

Tidak cukup dengan itu, guru wanita terbabit turut dilihat seolah-olah mencampak kanak-kanak malang berkenaan.

Layanan buruk guru wanita terbabit kepada mangsa turut disaksikan kanak-kanak lain.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu tular hari ini selepas video berdurasi 10 saat tersebar sebelum warganet mengecam perbuatan guru wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan menerima laporan mengenainya petang tadi.

"Saya mengesahkan laporan polis dibuat oleh ibu kanak-kanak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak," katanya.

Beliau juga mengesahkan guru terbabit sudah dikenalpasti dan dipanggil untuk memberi keterangan.

Ketika ditanya sama ada guru terbabit ditahan atau sebaliknya, beliau berkata, siasatan lanjut masih berjalan dan sedang dalam tindakan.

"Sedang dalam tindakan Jabatan Siasatan Jenayah," katanya.

Katanya, individu yang merakam video terbabit juga sedang dalam siasatan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemilik akaun Facebook, Sheikh Al Fariq mendakwa mempunyai anak yang belajar di sekolah terbabit mengatakan guru wanita itu sudah diarahkan berhenti serta-merta.

"Baru lepas jumpa dan dapat penjelasan daripada pengetua sekolah, menurutnya cikgu itu akan diambil tindakan sewajarnya dan akan diberhenti bekerja serta-merta dan laporan polis sudah dibuat.

"Nak jumpa cikgu terbabit tetapi sudah tiada dan tidak dibenarkan mengajar serta merta. Kejadian berlaku semalam.

"Saya lihat pihak sekolah terutama pengetua sekolah amat ambil serius tentang perkara ini kerana cikgu itu bukan mengajar tetap.. hanya cikgu praktikal," katanya.

Menurut hantaran di facebook itu lagi, pengetua sentiasa mengingatnya guru tetap mahupun guru praktikal supaya mengawal emosi semasa mengajar, jangan mengambil tindakan melulu terhadap pelajar.

Katanya, dia dimaklumkan tujuan rakaman dibuat untuk dihantar kepada pihak universiti.

"Video itu tersebar kerana tunang kepada guru yang merakam video itu ternampak keiadian terbabit," katanya.

Disiarkan pada: March 26, 2021 @ 8:44pm
d