utama

Neelofa, PU Riz kini suami isteri [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Usahawan dan selebriti popular, Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, pada jam 11.43 pagi di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh adik kandung, Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor. 

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan khutbah dan tazkirah ringkas pada hari bahagia pasangan itu.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin daripada Haris manakala hantaran hanya yang wajib. 

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran majlis pernikahan kami. Kami berharap agar pernikahan ini menjadi satu ikatan abadi yang diberkati oleh Allah SWT, insya-Allah.

"Benar, banyak kekangan berlaku ketika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua sekitar penghujung tahun lalu. 

"Tapi saya sangat bersyukur kerana apa yang dirancang, dapat dilaksanakan pada hari ini. Saya dan suami bersama pereka majlis Reka Teemor bersetuju untuk menggunakan rona putih sebagai satu-satunya warna dalam majlis ini," katanya.

Menurut Neelofa, tahun 2019 menjadi titik permulaan perkenalan mereka sehingga nekad untuk mengikat janji sehidup semati.

"Sejujurnya, saya mula mengenali Haris pada tahun 2017. Sekitar Jun kalau tak salah. Kemudian pada 2018, saya bekerjasama buat kali yang pertama dengannya dalam satu projek. Selepas kolaborasi itu, kami tidak berhubung sehinggalah setahun kemudian.

"Dari titik pertemuan semula itu, kami mula mengenali hati budi masing-masing. Dia adalah seorang yang sangat baik, lemah lembut dan matang. Apabila berbual dengannya, kita boleh bincangkan banyak hal dan ia membuatkan saya berasa selesa. 

"Dia juga seorang pendengar yang baik dan sentiasa cuba membantu memberi solusi jika saya menghadapi sebarang kesukaran atau masalah," katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 100 tetamu menghadiri majlis yang dinanti-nantikan itu. Antara yang hadir adalah ahli keluarga Neelofa iaitu Datuk Halim Khan dan Datin Noor Kartini serta ahli keluarga Haris iaitu Datuk Seri Ismail Nobat dan Datin Seri Normah Johari.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pasangan ini dikatakan bakal mendirikan rumah tangga di sebuah hotel mewah di ibu kota, Sabtu ini. 

Pada Disember tahun lalu, Neelofa dalam kenyataannya menafikan dakwaan sudah melangsungkan perkahwinan dengan Riz dan dinikahkan bapa kandungnya di Kelantan.

Neelofa turut menafikan tuduhan yang mendakwa kononnya dia terkena ubat pengasih dan memindahkan sejumlah wang kepada pendakwah muda itu.

Disiarkan pada: March 27, 2021 @ 11:53am
d