utama

Rela dipenjara di tanah air

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: "Saya rela ditahan dan dipenjarakan di negara sendiri berbanding di sini (Kem Delta, Teluk Guantanamo, Cuba). Apa yang penting boleh bersua muka dengan ahli keluarga walaupun di sebalik cermin kaca."

Demikian luahan seorang daripada dua warga Malaysia yang ditahan di Kem Delta, Teluk Guantanamo, Cuba kepada Pakar Deradikalisasi, Dr Zamihan Mat Zin.

Zamihan menyatakan beliau bersama delegasi termasuk wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha untuk membawa balik dua rakyat tempatan yang ditahan di Kem Delta terbabit.

Lawatan itu dilakukan tidak berapa lama dulu.

Dua rakyat tempatan yang ditahan di Kem Delta adalah Mohd Farik Amin atau nama samarannya Zubair serta Mohd Nazir Lep.

Kedua-duanya ditahan pada 2003 dalam satu operasi khas antikeganasan bersama Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS).

Mohd Nazir ditahan di Thailand manakala Mohd Farik ditahan di Kemboja pada tahun sama.

Difahamkan, mereka bukan sahaja rakyat Malaysia yang ditahan di pusat tahanan itu lebih 10 tahun lalu, malah digeruni dalam kalangan tahanan.

Berdasarkan satu dokumen, ia menyatakan bahawa mereka tidak dibenarkan untuk pembebasan segera dan nasib mereka belum dapat dipastikan.

Mohd Farik memberitahu Zamihan tempoh lebih 10 tahun ditahan negara asing sememangnya memberi pengajaran berharga kepadanya dan kini hanya mahu pulang ke tanah air dan rela berdepan dengan perundangan Malaysia.

Zamihan yang juga bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, pihak perisikan AS mengklasifikasikan dua rakyat tempatan ini sebagai tahanan bernilai tinggi selain melabelkan mereka sebagai pakar bom.

"Seperti yang kita tahu, dua rakyat tempatan ini adalah pembantu utama kepada orang kanan Jemaah Islamiyah (JI) iaitu Riduan Isamuddin atau lebih dikenali sebagai Hambali," katanya kepada Metro Ahad.

Zamihan berkata, Mohd Farik sering menyatakan dia mahu berubah untuk keluarga dan menghabiskan masa dengan mereka memandangkan tempoh lebih 10 tahun berpisah berikutan ditahan banyak mengajarnya berkaitan kesilapan lalu.

"Pertemuan diadakan dengan kawalan ketat itu sedikit sebanyak mendedahkan wujud penyesalan dalam dirinya, namun saya berasakan kita perlu melihat kepada semua aspek.

"Dia (Mohd Farik) menyatakan terlalu rindu dengan keluarga selain berterima kasih atas kunjungan delegasi daripada Malaysia untuk berbincang tentang urusan membawa mereka pulang ke Malaysia.

"Saya ada bertanya bagaimana kehidupan di kem tahanan, dia menyatakan dia terpaksa makan apa saja dihidangkan untuk kekal hidup selain bertanyakan beberapa soalan tentang hukum," katanya.

Menurut Zamihan, tindakan kerajaan membawa pulang dua tahanan itu langkah terbaik kerana modul pemulihan tahanan keganasan diguna pakai di negara ini antara yang terbaik.

"Berdasarkan rekod, sudah terbukti kita mampu memulihkan ideologi radikal individu seperti mereka dan membawa individu ini ke pangkal jalan," katanya.

Berita berkaitan

  • Tahanan perlu lalui proses soal siasat tambahan
  • Tapi Amerika kena setuju
  • Disiarkan pada: March 28, 2021 @ 3:58pm
    d