utama

Daiyan tak solek keterlaluan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MULANYA dikatakan meniru karya Thailand, Bad Genius, namun drama Projek: Anchor SPM arahan Razaisyam Rashid terus mendapat perhatian selepas ditayangkan sejak 15 Mac lalu.

Justeru, satu kepuasan buat Daiyan Trisha apabila drama berkisarkan kehidupan pelajar yang bergelut menghadapi peperiksaan SPM ini diterima peminat.

Daiyan, 27, atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin mengakui gembira drama ini akhirnya diterima.

"Alhamdulillah, penonton suka dan ramai layan cerita ini. Mereka kata drama ini berbeza serta suka jalan cerita yang dianggap lain dari yang lain. Mereka kata ia drama yang ditunggu-tunggu.

"Keseluruhannya penonton adalah golongan muda, tapi ada juga yang lebih dewasa. Ia mengambil latar tahun 2003 jadi ada elemen penggunaan telefon bimbit Nokia, satu jenama popular era itu. Ada juga barang-barang memori yang lain.

"Mereka yang berusia pun boleh kaitkan dengan drama ini. Semua kata rindu dengan kisah lama yang pernah dilalui," katanya.

Dia yang melakonkan watak Aaidaa, pelajar paling cemerlang akademik STIA selesa dengan penampilannya yang ringkas menerusi drama terbabit.

"Sebagai pelakon saya kena melakonkan watak seperti dikehendaki pengarah. Budak sekolah mana boleh bersolek keterlaluan. Apatah lagi budak pintar lagilah tak bersolek. Sekadar perlu sahaja.

"Saya boleh berlakon tanpa solekan melampau ikut kesesuaian watak. Tambah lagi kadang-kadang apabila menjalani penggambaran sehingga malam dengan solekan pun tak bagus juga.

"Ini kali kedua saya bawa watak budak sekolah. Sebelum ini menerusi saluran Astro Ceria, saya berlakon sebagai pelajar kolej," katanya.

Menurut Daiyan, dia mengakui memang nampak keserasian dan kesesuaian melakonkan karakter budak sekolah.

"Menerusi respons diberikan, mereka puji gaya saya macam budak-budak. Lagipun saya dan pelakon lain pun buat kajian dan fahami karakter.

"Agak berbeza kerana sebelumnya penonton tak suka watak begini dibawakan oleh pelakon berusia.

"Perbincangan dengan penulis skrip dan pengarah berjaya melahirkan kejayaan drama ini," katanya.

Hos Muzik Muzik 36

Selain membintangi drama Projek: Anchor SPM, rezeki Daiyan semakin bertambah apabila terpilih sebagai hos baharu Muzik Muzik 36 bergandingan dengan Alif Satar.

"Alhamdulillah, malam ini (hari ini) kali kedua kami bersiaran secara langsung. Ia satu pengalaman baharu buat saya.

"Diakui saya pernah menjadi hos tapi jarang buat kerana fokus pada nyanyian dan lakonan. Saya terpaksa tolak tawaran yang datang kerana fikir banyak sangat nak buat.

"Tapi, ditawar sebagai hos Muzik Muzik 36 adalah sesuatu yang besar. Nak gunakan peluang ini untuk lebih kembangkan karier," katanya.

Dia mengakui agak gementar kerana digandingkan dengan Alif yang dikenali sebagai hos berbakat dan disukai ramai.

"Jadi, saya kenalah banyak belajar. Kami berdua penyanyi dan TV3 memang berniat nak menjadikan penyanyi sebagai hos. Alif sangat membantu. Harap saya lebih tenang selepas ini.

"Bergelar hos juga tak jejaskan tumpuan karier kami dalam nyanyian. Sekiranya lagu kami tercalon, mereka boleh bagi kebenaran dan ambil orang lain untuk gantikan sebagai hos sementara.

"Isu 'conflict of interest' juga tak berlaku kerana lagu yang masuk senarai sebenarnya adalah dari undian peminat, manakala di peringkat seterusnya pula daripada juri. Tiada apa-apa yang salah," katanya.

Mengulas mengenai pemilihannya, Daiyan berpendapat ia mungkin kerana TV3 mahukan kelainan dalam industri muzik.

"Apabila lagu Gila menang Anugerah Juara Lagu ke-35, saya boleh nampak TV3 nak cari lagu yang kuat dan bukan setakat popular serta orang harap menang.

Peminat perlu fokus pada penulis lirik dan komposer berbanding penyanyi. Mereka adalah individu penting dalam industri," katanya.

Bercerita perkembangan terbaharu, Daiyan bakal terbabit dalam telefilem pertengahan April ini.

"Saya juga akan terbabit dengan projek lain Mei nanti tapi belum boleh diumumkan.

"Perancangan untuk ke luar negara juga terpaksa tangguh dulu kerana Covid-19. Bagi saya Malaysia tempat paling selamat sekarang.

"Saya bernasib baik belum sempat keluar. Memang ada perancangan untuk belajar menulis di Amerika Syarikat, tapi tak sempat dan Allah lebih tahu," katanya.

Daiyan berkata, apabila keadaan kembali okey, dia merancang untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Disiarkan pada: March 29, 2021 @ 6:00am
d