utama

Hantaran Kenari untuk Caca

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang lelaki dari Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia mencipta kelainan apabila menyerahkan burung kenari jantan sebagai hantaran buat isterinya pada majlis pernikahan mereka, baru-baru ini.

Tribunews melaporkan Aris Prasetyo, 32, memilih burung kenari sebagai hantaran kerana menganggap isterinya, Eka Maria Fransisca, 29, cerewet seperti haiwan berkenaan.

Selain burung kenari, Eka Maria turut menerima mas kahwin bernilai 620,000 Rupiah (kira-kira RM178).

Menurut Eka Maria atau mesra disapa Caca, pemilihan hantaran dan mas kahwin itu dibincangkan serta dipersetujui kedua-dua pihak.

"Aris memberitahu dia tidak mahu beri wang atau selain daripada itu pada hari majlis pernikahan kami.

"Sebaliknya, dia (Aris) mahu beri apa yang saya suka iaitu burung dan sebenarnya kami berkongsi minat sama.

"Keluarga tahu dan mereka tiada masalah cuma ada bertanya kepada saya sama ada hantaran serta mas kahwin itu memadai atau tidak. Bagi saya, pemberian itu cukup istimewa," katanya yang sedia bertanggungjawab menjaga burung kenari berkenaan.

Berhubung nilai mas kahwin, Caca berkata, selain burung, ada makna tersirat di sebalik angka 620,000.

"Nilai itu sebenarnya simbolik sempena tarikh 6 Jun 2020.

"Pada tarikh itu, saya dan suami memutuskan untuk memberitahu kepada rakan sekerja mengenai hubungan kami," katanya.

Disiarkan pada: March 30, 2021 @ 6:45am
d