utama

Konsert jadi medan ujian Covid-19

Oleh Agensi

Barcelona: Kira-kira 5,000 individu membanjiri Palau Sant Jordi di sini, Sabtu lalu bagi menyaksikan konsert band indie popular Sepanyol.

Mereka memakai pelitup muka sepanjang konsert itu berlangsung, tetapi tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Difahamkan, konsert itu mendapat kebenaran pihak berkuasa adalah acara pertama seumpamanya sejak pandemik Covid-19.

Acara itu menjadi ujian percubaan untuk melihat sama ada manusia dapat meneruskan hidup dengan norma baharu ketika virus masih menular.

Ia juga diadakan bagi menilai sama ada acara serupa boleh diteruskan atau sebaliknya.

Pagi sebelumnya, tiga lokasi di sini dijadikan lapangan ujian untuk semua pekerja dan kakitangan menjalani ujian saringan Covid-19.

Mereka hanya dibenarkan hadir ke konsert berkenaan yang diadakan pada waktu malam hari sama, jika negatif virus itu.

Pegawai perubatan bertugas, Dr Josep Maria Libre berkata, 2,400 individu menjalani ujian saringan.

Ujian saringan itu dijalankan dengan bantuan 80 jururawat yang memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE).

Hasil ujian itu, tiga individu disahkan positif Covid-19, manakala seorang lagi mempunyai kontak rapat dengan pesakit.

Dalam pada itu, seorang doktor di hospital di sini berkata, pihaknya menjangkakan acara itu benar-benar selamat.

Bagaimanapun, pihaknya memantau bagi mengenal pasti berapa individu positif Covid-19, dalam tempoh 14 hari selepas acara itu.

Daripada angka yang diperoleh pihaknya akan mengemukakan laporan.

Setakat ini, Sepanyol merekodkan 3.27 juta kes positif Covid-19 dengan 75,199 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 31, 2021 @ 6:30am
    d