utama

'Bukan salah saya'

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "Saya dah selamatkan Kelantan FC dan keluarkan sampai RM6.8 juta untuk selesaikan semua hutang pemain, patutkah Kelantan FC dikatakan tak profesional?

"Bekas pemain yang keluarkan kenyataan terlebih dahulu di media sosial berkenaan isu ini, bukan Kelantan FC."

Demikian kata pemilik pasukan Kelantan FC Norizam Tukiman yang mengakui terkilan apabila Kelantan FC didakwa tidak profesional oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berhubung notis tuntutan gaji lima bekas pemain The Red Warriors (TRW).

Jelas Norizam, Kelantan FC di bawah pengurusan baharu tidak mempunyai masalah untuk menjelaskan semua tunggakan gaji lima pemain berjumlah RM158,857 kepada Nazrin Nawi, Mohd Farisham Ismail, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Shahrul Nizam Ros Hasni dan Masaki Watanabe.

Namun permintaan beliau supaya lima tonggak terbabit menerima pemotongan sebanyak 50 peratus adalah bagi menghormati majoriti pemain lain yang sebelum itu bersetuju dengan pemotongan berkenaan.

"Saya bukan jenis suka mengungkit-ungkit dan jauh sekali untuk tidak bersikap profesional. Kalau saya ini tak profesional, saya takkan menghabiskan duit untuk bayar semua tunggakan gaji pemain. Hanya lima pemain ini sahaja kerana mereka pentingkan diri sendiri.

"Kalau kata Kelantan FC tak profesional, adakah kelab Barcelona juga tak profesional apabila (Lionel) Messi dipotong gaji sehingga 70 peratus bagi membantu kelab yang tersepit ekoran pandemik Covid-19 ini.

"Apalah sangat nak bandingkan Barcelona dengan Kelantan, tetapi sekurang-kurangnya fahamlah mengapa pemotongan itu perlu di kala kita semua berdepan masalah Covid-19.

"Macam saya katakan, saya tak ada masalah langsung nak bayar gaji pun kerana kami cukup profesional bila membabitkan hal perundangan tapi akhirnya pemain itu yang tak profesional dan mementingkan diri sendiri.

"Mereka tak faham, sepatutnya apabila 90 peratus setuju pemotongan yang 10 peratus patut setuju," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, PFAM menyelar tindakan TRW mendedahkan notis tuntutan gaji lima bekas pemainnya kepada umum sebagai tidak profesional dan menuntut pengurusan pasukan terbabit menghormati kontrak pemain.

Berita berkaitan

Tak pro boh!

Disiarkan pada: March 31, 2021 @ 7:00am
d