utama

Covid-19: Kes sembuh atasi kes baharu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 1,442 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 332,443 kes atau 95.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes sembuh itu mengatasi jumlah kes harian baharu iaitu sebanyak 1,294 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 dalam negara mencecah 347,972 kes.

Menurutnya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah 14,246 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi sebanyak 455 kes (35.2 peratus). Daripada jumlah ini, 375 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan. Ia diikuti Sarawak sebanyak 217 kes dan Pulau Pinang sebanyak 139 kes.

"Sebanyak 22 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster di penjara membabitkan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (18 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (dua kes) dan masing-masing satu kes dari Kluster Tembok Mempaga dan Kluster Tembok Muhasabah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 26 daripada keseluruhan kes baharu dilaporkan hari ini adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Selain itu, katanya, terdapat 168 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 78 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, lima kematian direkodkan membabitkan dua kes di Sarawak dan masing-masing satu kes di Johor, Pulau Pinang dan Sabah.

"Tiga kematian membabitkan lelaki berusia 37, 52 dan 59 tahun manakala dua wanita berusia 80 serta 84 tahun yang kesemuanya mempunyai latar belakang penyakit.

"Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 2, 2021 @ 6:48pm
    d