utama

Hikmah tak dapat kerja rider

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Bermula sebagai penghantar makanan sambilan, siapa sangka Ameerul Muhaimin Addnan kini memiliki syarikat perkhidmatan penghantaran dikenali K' Delivery yang kini menjadi pilihan pengguna di sekitar Kuala Ketil, Kedah.

Lebih membanggakan apabila pemuda berusia 24 tahun itu berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menyediakan aplikasi yang memudahkan pelanggannya untuk membuat pesanan penghantaran makanan dan barangan runcit termasuk gas memasak.

Berkongsi kisah di sebalik kejayaannya, Ameerul Muhaimin berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang dan pernah memohon kerja sebagai penghantar makanan dengan sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran, tetapi gagal kerana tiada kekosongan.

Namun, Ameerul Muhaimin yang juga anak bongsu daripada lima beradik tidak putus asa sebaliknya bergerak solo sebagai penghantar makanan bermula Disember 2019.

"Pada awalnya, saya hanya iklankan perkhidmatan di Facebook (FB) dan tidak sangka ada yang berminat menggunakan khidmat saya.

"Kebetulan, saya belum mendapat gaji ketika itu, saya pinjam RM50 daripada kakak (Nurul Aina Farhana, 29) sebagai modal bagi membeli makanan pelanggan.

"Rutin saya sebagai penghantar makanan ketika itu bermula jam 6 petang iaitu selepas tamat kerja di kilang sehingga jam 12 tengah malam.

"Saya kenakan caj penghantaran RM2 kepada pelanggan untuk setiap penghantaran di sekitar pekan Kuala Ketil," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Ameerul Muhaimin, dia bergerak sendiri selama tujuh bulan dan mengakui letih kerana perlu melakukan dua pekerjaan dalam sehari ketika itu.

Meskipun begitu, Ameerul Muhaimin menganggap penat lelahnya itu berbaloi apabila permintaan diterimanya semakin meningkat hasil kepercayaan pelanggan.

"Hari demi hari, jumlah pesanan kian bertambah dan akhirnya, saya ambil keputusan untuk mengambil pekerja dan pada mulanya hanya dua orang saja.

"Kini, saya ada 20 pekerja yang ditugaskan mengambil dan menghantar makanan atau barangan kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui aplikasi boleh dimuat turun di telefon bimbit bermula Jun lalu.

"Sehingga kini, saya sudah menjalin kerjasama dengan 150 vendor iaitu pemilik premis yang bersetuju menggunakan perkhidmatan syarikat saya sebagai medium untuk mengambil dan menghantar pesanan," katanya yang juga pemegang Diploma Teknologi Primer, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis.

Demi memberi tumpuan kepada syarikat diusahakannya, Ameerul Muhaimin mengambil keputusan berhenti kerja sebagai juruteknik di kilang tiga bulan lalu.

"Saya sudah fikir masak-masak sebelum berhenti dan itu yang terbaik supaya saya boleh fokus pada satu kerja saja.

"Lagipun, ayah (Addnan Din, 67) menghidap masalah jantung dan saya perlu membantu ibu (Siti Fatimah Ismail, 58) menjaga serta membawanya ke hospital. Bekerja sendiri lebih mudah kerana tidak perlu khuatir soal cuti.

"Cuma, tekanan bekerja sendiri lebih hebat daripada makan gaji kerana perlu memikirkan bagaimana mahu memajukan dan mengekalkan mutu perkhidmatan selain hal berkaitan pekerja, vendor serta pelanggan," katanya.

Menurut Ameerul Muhaimin, dia bersyukur dengan apa yang dikecapinya hari ini.

"Saya sampai ke tahap ini berkat sokongan keluarga terutama ibu dan ayah yang memberi inspirasi serta pendedahan terhadap perniagaan sejak saya kecil," katanya.

Disiarkan pada: April 3, 2021 @ 11:06am
d