utama

'Tubuh pasukan khas depani ancaman'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Wujud persoalan berkenaan isu keselamatan terutamanya dakwaan ejen yang 'ditinggalkan' oleh Korea Utara selepas republik terbabit memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Walaupun dakwaan itu masih tiada bukti kukuh namun ada pihak berpandangan bahawa ia mempunyai asasnya.

Selain ancaman keselamatan secara fizikal, garis keselamatan secara maya merangkumi keselamatan siber juga dipertikaikan.

Wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Penasihat Teknikal Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme Universiti Sains Arab Naif, Arab Saudi, DR MOHD MIZAN ASLAM berhubung isu keselamatan di Malaysia.

Akhbar Korea Utara dakwa ramai ejen Korea Utara 'ditinggalkan' di Malaysia.

Kita tidak boleh nafikan perkara itu walaupun tiada bukti data empirikal namun perkara berkenaan boleh dilihat sudah menjadi 'tradisi' bagi sesebuah negara.

Ia bukan tertakluk kepada Korea Utara saja, malah negara lain berkemungkinan besar menempatkan ejen rahsia atau ejen perisik mereka untuk mendapatkan pelbagai maklumat.

Maklumat seperti kestabilan politik, ekonomi dan sebagainya dan tidak hanya tertumpu kepada ejen perisikan keselamatan saja.

Mereka ini akan masuk dengan beberapa kaedah antaranya menggunakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasport dari negara ketiga dan sebagainya.

Ejen perisik ini juga tidak akan menggunakan nama asal dan berkemungkinan besar turut menggunakan pasport negara lain bagi mengelirukan pihak berkuasa sesebuah negara.

Jadi untuk dakwaan ini, kita tidak boleh nafikan dan lebih baik kita berwaspada dengan segala kemungkinan daripada kita selesa dengan tahap keselamatan sedia ada.

Ada yang menyatakan Malaysia menjadi lokasi transit untuk penyeludupan barang mewah oleh kumpulan warga Korea Utara ini.

Berdasarkan dapatan saya sendiri menerusi analisis, laporan dan sebagainya, memang ada kebenarannya terhadap apa yang didakwa.

Ada transaksi dibuat secara sah iaitu menerusi lunas perundangan sedia ada dan wujud transaksi tidak sah menerusi kargo barangan diisytiharkan berlainan dengan kandungannya.

Jika kita lihat sendiri, ada laporan menyatakan pembekalan senjata api seperti oleh kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), mereka guna pelabuhan di negara ini sebagai transit untuk barangan tidak sah sebelum dihantar kepada mereka.

Ini membuktikan secara tidak langsung sememangnya wujud 'pemerdagangan' sama ada secara sah atau tidak dengan mereka.

Serangan bom oleh organisasi pengganas terhadap rumah ibadat di Indonesia. Pasti Malaysia ambil langkah berjaga-jaga.

Isu pengganas, radikal dan gerakan ektremisme ini memang tidak pernah habis dan tamat cuma adakalanya ia 'berhibernasi' seketika sebelum muncul kembali.

Antara titik tolak boleh kita jadikan kayu ukur untuk kegiatan pengganas ini apabila mereka merasakan wujud ketidakadilan serta arahan khusus daripada pimpinan mereka.

Untuk kes di Indonesia, pergerakan radikal di sana tidak selesa dengan pemerintah Indonesia dan hanya menunggu masa sesuai untuk mencetuskan huru-hara.

Cuma bagi pandangan saya, skala buat masa ini masih tidak besar kerana tiada isu universal ingin dibawa pertubuhan pengganas ini.

Jika kita melihat kepada konteks Malaysia, saya yakin pihak berkuasa kita iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak pantas namun kita tidak boleh alpa.

Bagaimana pula dengan garis keselamatan maya iaitu ruang siber kita, adakah ia turut menjadi sasaran sama ada pihak Korea Utara atau pengganas seperti Daish?

Saya jawab ya dan tidak.

Ya, Korea Utara mempunyai keupayaan melakukan godaman terhadap laman web atau jaringan strategik negara.

Tidak, untuk organisasi pengganas seperti Daish, mereka tiada keupayaan namun saya yakin pasti ada pihak sengaja mahu mengaku serangan siber daripada Daish yang hanya ingin mengaitkan nama saja.

Saya lihat tahap keselamatan siber di negara kita lemah dan kerajaan perlu meningkatkan kesiapsiagaan sistem pertahanan maya.

Korea Utara mempunyai pasukan khas dalam tenaga pakar komputer. Mereka boleh melakukan serangan pada bila-bila masa terhadap jaringan strategik negara.

Sudah sampai masanya kerajaan perlu mewujudkan satu pasukan khas terdiri daripada tenaga pakar perkomputeran dan sistem untuk mendepani ancaman ini.

Bagaimanakah tahap ancaman Korea Utara kepada Malaysia?

Apa yang terjadi antara Malaysia dan Korea Utara hanyalah bersifat 'perselisihan diplomatik' saja dan saya yakin keadaan pulih dalam masa tertentu.

Ia tidak membabitkan isu besar antara dua negara ini sebaliknya lebih kepada pendekatan diplomatik.

Saya yakin, hubungan akan kembali terjalin cuma memerlukan sedikit masa apabila keadaan reda kelak.

Untuk itu, Malaysia perlu memainkan peranan strategik iaitu menjalinkan kerjasama erat dengan China memandangkan negara republik itu rakan sekutu Korea Utara, selain kerjasama erat dengan Korea Selatan.

Langkah strategik itu akan dapat mengimbangkan ancaman Korea Utara jika ada untuk negara kita.

Apakah langkah untuk memperkemaskan ancaman keselamatan sama ada daripada sudut fizikal serta maya?

Jika kita sentuh aspek keselamatan fizikal, saya rasa banyak perlu dilakukan termasuk memperkemaskan kawalan sempadan, memulihkan integriti pihak berkuasa supaya tidak menggadaikan keselamatan hanya dengan sogokan termasuk kemahiran risikan yang dipertingkatkan.

Semua ini akan membantu kita meningkatkan ancaman fizikal keselamatan.

Selain itu, PDRM saya fikir sangat berjaya setakat ini untuk mengekang ancaman domestik berkenaan.

Cuma masih ada ruang untuk kita terus memperbaiki tahap keselamatan sedia ada.

Bagi ancaman maya pula, kerajaan perlu ada fokus meningkatkan tahap kesiapsiagaan serangan di ruang siber.

Selain itu, saya fikir juga perlu kita masukkan elemen ancaman keselamatan baharu ini dalam perundangan kita termasuk memperkemaskan akta sedia ada.

Ia penting supaya memberi punca kuasa kepada polis contoh, untuk melaksanakan tugas, tindakan, siasatan dan pencegahan.

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 7:01am
d