utama

Getir menyamar jadi nelayan

Oleh Yusri Abdul Malek

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai nelayan bagi meninjau pulau Koh Lo di Laut Andaman, Thailand diibarat menggadai nyawa kerana pulau kecil berkenaan dikawal ketat sindiket dadah antarabangsa dikenali sebagai Naga Merah.

Tugasan 'ngeri' ini bertitik tolak daripada maklumat yang dikumpul selama dua bulan selepas terbongkar 23 rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand ketika cuba menyeludup syabu dan heroin ke negara ini dianggarkan bernilai RM600 juta.

Dilaporkan, semua dadah yang tiba di pulau berkenaan adalah dari Segi Tiga Emas sebelum ia diedarkan ke negara ini dan sekitarnya.

Selepas maklumat dikumpul dan dengan persetujuan pengarang kumpulan, penulis bersama Mohd Firdaus Ibrahim dan jurugambar kemudian memulakan perjalanan dengan menaiki kenderaan hingga ke sempadan Bukit Kayu Hitam/Danok.

Sebaik tiba di sempadan, penulis berjumpa dengan 'sumber' yang juga bekas pengedar dadah yang pernah berurusan dengan sindiket terbabit bagi membincangkan kaedah atau cara terbaik untuk meninjau pulau berkenaan.

Kami memulakan perjalanan ke Wilayah Trang pada awal pagi dengan menaiki sebuah kenderaan dipandu 'sumber' untuk meninjau lebih dekat kegiatan sindiket terbabit di sekitar Laut Andaman atau Pulau Koh Lo yang mengambil masa hampir dua jam perjalanan.

Dalam perjalanan, kami diingatkan berkali-kali agar menyimpan rahsia mengenai kegiatan sindiket berkenaan ketika berada di negara itu kerana jika sindiket Naga Merah mengetahuinya kehadiran wartawan, hanya maut yang menanti.

Teringat kata-kata 'sumber' iaitu, "Jika identiti saya atau kamu semua terbongkar...siapkan lubang kubur kita" agak menakutkan juga, tetapi dalam menjalankan tugasan, pandai-pandailah kita menangani masalah itu.

Untuk mendapat maklumat lanjut, kami bertanyakan mengenai kewujudan pulau kecil berkenaan kepada nelayan tempatan, tetapi rata-rata mereka takut untuk membawa kami ke sana kerana pulau itu hanya boleh dimasuki ahli sindiket sahaja.

Hampir berputus asa, ada seorang nelayan sanggup membawa kami dengan bayaran tertentu, tetapi sekadar melihat pulau berkenaan dari jauh saja.

Menaiki bot nelayan menyebabkan kami yang tiada biasa dengan laut 'mabuk free.' Namun, maklumat daripada nelayan tempatan dan sumber serta tinjauan sudah memadai.

Penugasan ke pulau itu adalah satu pengalaman manis buat penulis dan rakan wartawan serta jurugambar kerana dengan pendedahan berita itu, Harian Metro memenangi kategori Gangsa bagi Laporan Pembongkaran Berita Kandungan Editorial yang dianjurkan Persatuan Akhbar dan Penerbit Akhbar Dunia (WAN-IFRA) pada 2017.

Sesungguhnya anugerah ini pencetus semangat kepada kami dan wartawan muda untuk terus menghasilkan berita penyiasatan terbaik pada masa depan.

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 11:32am
d