utama

1,349 kes baharu Covid-19, 2 kematian

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 1,349 kes baharu positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu bertambah kepada 350,959 kes dengan kebolehjangkitan 14,509 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh daripada kes baharu itu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala selebihnya penularan tempatan.

"Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 419 kes, dengan 382 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti Selangor (343 kes) dan Pulau Pinang (185 kes). Sebanyak 191 kes yang dilaporkan pula berkaitan kluster di depot tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Tembok Sri Aman (159 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (26 kes), Kluster Tembok Mempaga (2 kes), Kluster DTI Sepang 2 (2 kes) dan masing-masing satu kes bagi Kluster DTI Juru serta Kluster Tembok Tapah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,270 kes pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 335,162 kes.

Selain itu, beliau berkata, terdapat 186 pesakit Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 94 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, kes kematian pada hari ini pula sebanyak dua kes menjadikan jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 1,288 kes iaitu 0.37 peratus.

"Dua kematian itu membabitkan lelaki berusia 76 tahun di Hospital Bintulu, Sarawak dan lelaki berusia 78 tahun di Hospital Tawau, Sabah," katanya.

"KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 6:37pm
    d