utama

Detik konkrit runtuh depan mata

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Melihat sendiri konkrit bangunan runtuh di depan mata antara pengalaman tidak dapat dilupakan bekas wartawan Harian Metro Aminuddin Ibrahim, 63, ketika membuat liputan tragedi runtuhan Highland Towers, Ulu Klang, Selangor pada 11 Disember 1993.

Walaupun kejadian itu sudah 28 tahun berlalu namun ia masih segar dalam ingatan Aminuddin yang ketika itu dalam perjalanan untuk ke lokasi jenayah di Bangsar.

Ketika itu, dia bersama sekumpulan wartawan jenayah menaiki kereta sebelum dimaklumkan mengenai kejadian terbabit.

"Kami terus bergegas ke sana. Kalau tak salah saya, ada wartawan New Straits Times dan Malay Mail bersama seorang lagi jurugambar.

"Sampai di lokasi, saya lihat seperti tiada apa-apa yang berlaku. Memang tidak perasan ada bangunan runtuh menyembah bumi.

"Selang 15 minit, bomba sampai dan pada masa itu baru kami tahu bahawa struktur di hadapan kami adalah blok kediaman yang tumbang," katanya.

Aminuddin berkata, ketika itu menjadi cabaran utama kepada dia dan wartawan lain untuk mendapatkan pengesahan mengenai apa yang berlaku di lokasi itu.

Menurutnya, selepas kawasan itu dipenuhi pasukan penyelamat dan dikawal sepenuhnya polis, dia menghantar laporan ke Balai Berita menggunakan telefon yang disediakan syarikat untuk mengemas kini maklumat.

"Saya berada di lokasi sehingga pagi esoknya sebelum digantikan rakan lain dan datang semula pada sebelah petang.

"Apa yang berlaku di situ saya ingat bagaimana pasukan penyelamat mengeluarkan mayat tertimbus untuk dibawa ke hospital menggunakan helikopter.

"Pada masa sama, sebuah konkrit runtuh dan menghempap mangsa yang berada di situ. Ia berlaku di depan mata saya dan rakan wartawan lain," katanya.

Selepas itu, katanya, dia dan wartawan berjumpa bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam dan bertanya kenapa berada di lokasi itu sebelum dimaklumkan anaknya terperangkap di situ.

Menurutnya, tidak lama kemudian, kumpulan wartawan diarah beredar dari kawasan itu dan tidak mengganggu kerja mencari dan menyelamat oleh pasukan dari dalam dan luar negara.

Katanya, dalam keadaan terkejar-kejar mendapatkan bahan berita, dia masih pelik bagaimana bangunan itu boleh tumbang.

"Pelbagai persoalan bermain di fikiran, berapa ramai mangsa, bagaimana keadaan terkini, siapa antara mangsa, semua itu tidak ada jawapan.

"Yang saya nampak ialah seorang pembantu rumah memegang bayi yang kemudian diserahkan kepada Tan Sri Zaman Khan, antara pegawai kanan polis di tempat kejadian," katanya.

Aminuddin berkata, kekangan di lokasi pada waktu itu ialah bagaimana untuk menghantar bahan kepada editor yang menunggu di pejabat.

Katanya, mereka menggunakan telefon selular jenama OKI sehingga kehabisan bateri dan terpaksa mengecasnya di rumah penduduk berhampiran.

Menurutnya, biarpun terpaksa bekerja semalaman, itu tidak menjadi halangan kerana suasana pada waktu itu begitu tegang dengan operasi menyelamat.

"Saya tidak percaya melihat bangunan kukuh boleh tumbang, tak boleh bayangkan. Tetapi sebagai wartawan, kita tahu apa perlu dibuat, berita perlu dihantar dan Harian Metro perlu menyiarkan berita lain dari yang lain," katanya.

Biarpun ia sudah lama berlalu, katanya, ia bagaikan baru berlaku semalam kerana ia tragedi besar yang meragut 48 nyawa termasuk warga asing.

Pengalaman membuat liputan berkenaan menjadi antara yang kekal dalam kenangan Aminuddin yang berpengalaman sebagai wartawan berita, jenayah dan ekonomi sebelum berhenti pada 1999.

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 12:08pm
d