utama

Polis sudah ambil keterangan Neelofa, PU Riz

Oleh Faris Fuad

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan sudah merekod keterangan usahawan terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau dikenali PU Riz petang tadi, berhubung majlis perkahwinan pasangan itu yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan itu minggu ini sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Polis selesai rakam keterangan Neelofa dan suaminya petang tadi.

"Percakapan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan," katanya pada BH, malam ini.

Sebelum ini, polis dilaporkan membuka kertas siasatan membabitkan majlis perkahwinan Neelofa dan PU Riz.

Mohamad Zainal dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, PU Riz, 26, di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Isu perlanggaran SOP pada majlis itu timbul selepas tular di media sosial satu gambar menunjukkan jemputan yang hadir tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 11:59pm
d