utama

Mula puasa 13 April 2021 [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, Selasa, 13 April 2021, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, hari ini.

Tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong selepas diperkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman ringkas itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menetapkan tarikh melihat anak bulan Ramadan untuk umat Islam di Malaysia hari ini bersamaan dengan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Jawatankuasa berkenaan melihat anak bulan Ramadan di 29 lokasi di seluruh negara.

Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 8:07pm
d