utama

Tiada kaitan varian UK dengan jangkitan serius Covid-19

Oleh AFP

Paris: Kajian terkini mendapati varian baharu Covid-19 United Kingdom (UK) tidak menyebabkan jangkitan Covid-19 yang lebih serius berbanding varian lain.

Kajian sebelum ini menunjukkan varian dikenali sebagai B117 itu kini menjadi virus dominan di Eropah.

Berdasarkan kajian terdahulu, ia mempunyai peratusan lebih tinggi untuk menyebabkan kematian daripada varian normal.

Namun, dua kajian baharu diterbitkan menerusi jurnal The Lancet Infectious Diseases and The Lancet Public Health pada Selasa tidak menemui bukti menyokong dakwaan berkenaan.

Ia merumuskan tiada bukti varian B117 menyebabkan gejala Covid-19 yang lebih teruk atau risiko lebih besar, berbanding individu yang dijangkiti varian lain.

Bagaimanapun, penyelidikan sama mendapati varian itu mempunyai kaitan dengan viral load (beban virus) dan kadar reproduksi yang lebih tinggi daripada varian normal.

Pengarang pada kajian pertama menilai data 341 pesakit disahkan positif Covid-19 pada penghujung tahun lalu apabila B117 menular di tenggara England.

Mereka merumuskan 58 peratus pesakit dijangkiti varian B117 manakala 42 peratus lagi tidak dijangkiti varian berkenaan.

Dapatan itu juga menunjukkan, 36 peratus daripada mereka yang dijangkiti varian B117 mengalami sakit yang teruk atau maut berbanding 38 peratus lagi yang tidak dijangkiti varian sama.

Ia sekali gus menunjukkan tiada kaitan varian baharu itu dengan peningkatan risiko jangkitan Covid-19 lebih serius.

Pesakit dengan varian B117 didapati lebih cenderung dalam kalangan golongan muda dan jangkitan varian itu lebih kerap berlaku kepada kumpulan minoriti.

Sementara itu, kajian kedua pula menganalisis data dilaporkan sendiri oleh 36,920 pengguna aplikasi gejala Covid-19 di Britain, yang diuji positif antara 28 September hingga 27 Disember tahun lalu.

Mereka mendapati varian B117 memiliki kadar reproduksi 1.35 kali lebih tinggi daripada varian Covid-19 biasa, tetapi turut tidak menemui bukti jangkitan Covid-19 yang lebih serius sehingga membawa maut.

Setakat ini, UK merekodkan lebih 4.37 juta kes positif Covid-19 dengan 127,000 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 6:40am
    d