utama

Sudah 15 tahun popular [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Petaling Jaya: Sejak 2006, gerai Popia Basah FAM menjadi tumpuan pengunjung Bazar Ramadan SS6/1, Kelana Jaya di sini.

Tiga jenis juadah iaitu popia kering, popia basah dan popia sira menjadi menu kegemaran ramai sehingga ada pelanggan beratur menunggu walaupun gerai baru dibuka.

Peniaganya, Juria Ahmad, 49, berkata, dia bersyukur perniagaannya mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

"Alhamdulillah setiap tahun popia dihasilkan menggunakan resipi tradisi keluarga saya laris. Ada yang menunggu walaupun baru nak buka gerai," katanya yang menjual kira-kira 1,500 popia basah sehari.

Bagi peniaga tauhu bergedil, Nor Habibah Ismadi, 24, dia dan keluarganya menjadikan menu itu produk jualan sejak tiga tahun lalu.

Katanya, antara keunikan tauhunya ialah bersaiz lebih besar berbanding yang biasa dijual.

"Sebab itu saya namakan Tauhu Bergedil Kembang NHI iaitu nama keluarga," katanya.

Sementara itu, pengunjung bazar, Rosmawati Omar, 38, berkata, sejak beberapa tahun lalu, dia menjadikan Bazar Ramadan SS6/1 sebagai lokasi persinggahan yang tetap untuk membeli pelbagai jenis juadah berbuka.

"Banyak pilihan di sini. Walaupun kita masih dilanda Covid-19, saya lihat orang ramai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan Majlis Keselamatan Negara," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 7:01am
d