utama

'Rehatlah wahai ibu'

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Ibu kepada Allahyarham Siti Nur Surya Ismail, 19, yang dibunuh dengan kejam oleh rakan di kediamannya di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu, November tahun lalu meninggal dunia, Jumaat lalu.

Zaini Musa, 56, yang menghidap kanser otak menghembus nafas terakhir ketika sedang dimandikan dua anaknya di Kampung Beladau Kepong, di sini, jam 2.30 petang.

Suaminya, Ismail Muda, 59, berkata, ketika arwah menghembuskan nafas terakhir, dia berada di Jerantut, Pahang kerana urusan kerja.

"Sebaik anak menghubungi memberitahu ibunya sudah tiada, saya segera bertolak pulang.

"Arwah pergi (meninggal dunia) sangat mudah dan segala urusan pengebumian berjalan lancar. Semua urusan selesai selepas Isyak," katanya ketika ditemui di rumah bapanya, hari ini.

Ismail berkata, jenazah isteri disemadikan berhampiran dengan kubur Siti Nur Surya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beladau Selat, kira-kira 300 meter dari rumahnya.

Menurutnya, sejak pemergian Siti Nur Surya pada awal November tahun lalu, kesihatan wanita itu dikatakan semakin merosot dan lemah.

Katanya, sejak peristiwa menyayat hati itu, dia sentiasa di sisi arwah isteri dan tidak pernah meninggalkan wanita itu sendirian.

Ismail berkata, pada hari pemergian arwah, dia terpaksa menguruskan kerja di Jerantut dan terkilan arwah meninggal dunia ketika dia tiada di sisi.

Menurutnya, sehingga kini dia tidak mampu pulang ke kediaman di Kampung Lubok Batu, Telemong.

"Sejak kejadian itu, kami masih lagi tidak pulang ke rumah. Rumah itu banyak kenangan, lagi pun peristiwa itu masih segar diingatkan walaupun sudah lebih lima bulan berlalu.

"Saya akan terus tinggal di sini untuk menjaga bapa yang sudah uzur manakala, anak bongsu saya, Siti Nurliyana Syuhada juga sudah berpindah ke sekolah baru yang dekat dengan kawasan rumah," katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 4:58pm
d