utama

'Syukur, cukup untuk belanja makan'

Oleh Agensi

Jakarta: Pencen ditinggalkan arwah suami yang tidak cukup menyebabkan seorang wanita di Sumedang, Jawa Barat mengutip dan menjual barangan kitar semula bagi kelangsungan hidup.

Bagi Erni Marliana, 61, dia sanggup melakukan apa saja untuk menyara kehidupan bersama tujuh anak selepas kematian suami pada 2007.

Kompas melaporkan, kisahnya yang berjuang untuk hidup mendapat perhatian masyarakat sekitar.

Dia mengakui wang pencen suaminya sebelum ini habis digunakan untuk membayar hutang.

Katanya, hutang itu berjumlah 2 juta rupiah (kira-kira RM564) menyebabkan dia hanya ada baki 200,000 Rupiah (kira-kira RM57) untuk perbelanjaan keluarga.

Justeru, dia bekerja sebagai pengutip sisa plastik dan kertas dengan pendapatan 30,000 Rupiah (kira-kira RM8.40) hingga 50,000 Rupiah (kira-kira RM14).

"Syukur, cukup untuk belanja makan. Anak juga pandai berdikari.

"Hidup seadanya seperti ini tidak apa, yang penting halal dan tidak menyusahkan anak," katanya.

Berkongsi mengenai mendiang suaminya, Briptu Awang, Erni berkata, suaminya patah tulang ketika bertugas di balai polis Jatinunggal.

"Selepas itu dia menjalani rawatan dua kali di Hospital Pakuwon, Sumedang. Dia meninggal dunia di Hospital Keramat Jati, Jakarta. Sejak itu, saya perlu membiayai perbelanjaan tujuh anak dengan pencen ditinggalkannya," katanya.

Kisah hidup Ernimendapat perhatian Polis Jawa Barat yang datang meninjau keadaan rumahnya.

Ketua Polis Sukedang, Eko Prasetyo, Robbyanto berkata, rumah didiami itu akan dibaik pulih dengan segera.

"Proses baik pulih selesai segera. Terima kasih Ketua Polis Jawa Barat atas bantuan ini," katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 6:30am
d