utama

Siren tanda berbuka

Oleh Essa Abu Yamin

Muar: Masjid Jamek Sultan Ibrahim adalah 'permata' bagi daerah Muar dan selain sebagai bukti lokasi penyebaran syiar Islam utama, ia juga adalah mercu tanda kepada Bandar Maharani Bandar Diraja.

Terletak di tebing Sungai Muar, binaan Masjid Jamek Sultan Ibrahim yang berusia 91 tahun cukup unik kerana ia mengambil elemen campuran daripada nilai pertukangan Melayu, Inggeris dan Turki.

Bilalnya, Mohd Zulhelmy Rahmat berkata, gaya seni bina unik itu dapat dilihat melalui struktur binaan khususnya pada saiz tiang dan lampu yang besar, selain ruang wuduk, pintu masuk dan mimbar.

"Nilai estetika masjid lebih menyerlah dengan kewujudan kolam khusus untuk mengambil wuduk, yang turut diserikan dengan pancuran air.

"Antara keunikan Masjid Jamek Sultan Ibrahim ialah satu set jam matahari yang mengingatkan kita kepada inovasi cendekiawan Islam zaman silam.

"Masjid ini merupakan satu-satunya masjid yang mempunyai sebuah jam matahari. Namun pada masa ini, jam matahari ini sudah tidak berfungsi lagi," katanya.

Tambah beliau, satu lagi keunikan Masjid Jamek Sultan Ibrahim ialah adanya siren dan meriam yang akan diaktifkan sebagai tanda masuknya waktu solat fardu lima waktu selain masuk waktu berbuka puasa dan imsak sepanjang Ramadan.

"Siren berkenaan milik pasukan meriam tentera Punjabi beragama Islam dalam pasukan Timbalan Setia Negeri Johor yang ditempatkan di Muar pada 1885.

"Siren itu kini terletak di menara di tingkat dua bahagian depan masjid. Ia dibunyikan dengan menggunakan kuasa elektrik.

"Sebelum adanya bekalan elektrik, siren berkenaan dibunyikan dengan menggunakan kuasa bahan api yang dijana dengan putaran tangan," katanya.

Menurut beliau, ketika ini, siren berkenaan hanya digunakan ketika perlu dan pada waktu tertentu saja.

Ini kerana, bunyinya sudah tidak begitu jelas dan tidak lagi sesuai disebabkan bunyi bising pelbagai kenderaan yang lalu-lalang.

"Meriam pula digunakan untuk memberi makluman mengenai tarikh Aidilfitri dan Aidiladha. Namun kini, ia sudah tidak berfungsi lagi," katanya.

Tambah Mohd Zulhelmy, Masjid Jamek Sultan Ibrahim ditadbir oleh kerajaan negeri Johor dan lantikan pegawai masjid seperti imam, bilal dan noja adalah tertakluk kepada Jabatan Agama Islam Johor (Jaij).

"Sejak Masjid Jamek Sultan Ibrahim dibuka, lantikan imam serta ahli jawatankuasa lain sering bertukar-tukar dan tidak pernah merekodkan sejarah imam yang terdiri daripada susur galur keluarga yang sama sahaja," katanya.

Menurut beliau, sejak dibina, Masjid Jamek Sultan Ibrahim juga tidak pernah melakukan pemindahan atau mengalih arah kiblat dan arah kiblat berkenaan masih sama dan kekal sehingga kini.

"Ia tidak pernah melakukan pengalihan arah kiblat kerana pada zaman itu, mereka yang terbabit dalam pembinaan Masjid Jamek Sultan Ibrahim memiliki teknologi mengesan kiblat dengan tepat.

"Sehingga hari ini, tiada kerja-kerja pemulihan dan penambahbaikan secara besar-besaran di Masjid Jamek Sultan Ibrahim. Ia bangunan asal yang kekal terpelihara.

"Hanya ada proses pemulihan pada skala kecil membabitkan penambahan batu angin sebagai dinding di bahagian sekitar tempat mengambil wuduk dan tandas," katanya.

Tambah beliau, Masjid Jamek Sultan Ibrahim boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah untuk solat Jumaat dan 2,000 bagi solat sunat Aidilfitri serta Aidiladha.

"Lebih istimewa, kerabat diraja Johor juga sering singgah ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim untuk menunaikan solat fardu mahupun solat Jumaat ketika berada atau singgah di Muar sebelum ke destinasi dituju. Antaranya, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim," katanya.

Mohd Zulhelmy berkata, di Masjid Jamek Sultan Ibrahim juga, terdapat kemudahan yang tidak diketahui ramai iaitu pusat pelupusan al-Quran dan kitab lama.

"Pusat pelupusan ini menggunakan relau yang dicipta oleh anak jati Muar. Semua naskhah al-Quran serta kitab lama akan dicarik kepada cebisan kecil terlebih dahulu sebelum dibakar didalam relau ini.

"Abunya akan dijadikan seperti batu bata sebelum dilupuskan di laut. Khidmat ini disediakan kepada orang ramai dengan bayaran RM3 sekilogram," katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 6:40am
d