utama

Kak Lina tak kisah

Oleh Najiy Jefri

SIAPA sangka, niat baik artis serba boleh, Elly Mazlein untuk berkongsi tips kehamilan kepada pengikut di Instagram menerima kecaman daripada warganet.

Elly yang kini mengacarakan program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom di RTM berkata, apa yang ingin dikongsikan hanyalah untuk membantu mereka yang memerlukan.

"Sejak mengumumkan berita kehamilan di instagram baru-baru ini, saya menerima banyak mesej peribadi daripada wanita yang bertanyakan mengenai tips kehamilan.

"Rupa-rupanya ramai di luar sana yang berusaha untuk mendapatkan zuriat, malah ada yang sudah berkahwin lama tapi masih belum ada rezeki lagi.

"Saya bukan pakar mahupun doktor tetapi saya hanya ingin berkongsi tip yang diamalkan. Ada di antara tip itu dikongsikan oleh orang lain kepada saya, jadi tidak salah untuk saya kongsikan tip berkenaan supaya menjadi lubuk pahala untuk kami.

"Memanglah rezeki datang daripada Allah tetapi kita pun tidak boleh hanya menadah tangan dan mengharapkan keajaiban berlaku. Sebaliknya kita sendiri perlu ada usaha," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom yang kini menemui penonton sepanjang Ramadan di RTM.

Elly yang mesra disapa Kak Lina berkata, dia merancang untuk berkongsi tips dan pemakanan yang diamalkan untuk hamil di Instagram Live.

Malah, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berhasrat mengendalikan sebuah majlis kecil supaya dapat bertemu sendiri dengan wanita yang sedang mencuba untuk hamil, bagaimanapun keadaan tidak mengizinkan.

"Jika tiada aral melintang, saya akan mengadakan sesi live dalam waktu terdekat ini. Saya akan curi masa untuk terangkan dengan jelas mengenai amalan yang saya lakukan. Saya juga melalui proses percubaan dan pengambil supplemen yang tepat sebelum disahkan hamil. Ini bukan nak ulas produk atau saya menjadi duta tetapi perkongsian ini dibuat secara ikhlas.

"Tanyalah apa saja, saya akan cuba jawab mana yang termampu. Mungkin sesi berkenaan akan mengambil masa antara satu hingga tiga jam, tapi saya tidak kisah asalkan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Sebab itu saya kena pastikan jadual benar-benar kosong baru boleh lakukan sesi perkongsian secara live itu," katanya.

Elly berkata, buat sesiapa yang subur janganlah asyik mengecam saja. Dia paling geram bila ada netizen kata tidak perlukan tips untuk mendapatkan zuriat.

"Mereka yang subur memanglah tidak perlukan semua itu, tapi cuba fahami perasaan wanita lain yang terlalu mengharap untuk bergelar ibu.

"Bagi saya kalau tiada benda baik untuk diperkatakan, sila diam dan doakan mereka yang mengharapkan zuriat supaya dapat merasa menjadi ibu," katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai pengalaman mengandung kali kedua, Elly yang sudah pun mempunyai seorang cahaya mata hasil daripada perkahwinan terdahulu, Putri Sara Sefhia, 5, berkata, dia tidak mengalami alahan teruk.

Sebaliknya hanya kurang selera makan serta tidak boleh menghidu bau masakan terutama sekali bawang putih dan merah yang ditumis.

Katanya, sejak mengandung hasil perkongsian hidupnya dengan guru, Azlan Che Nuh, 30 dia gemar memakan sushi tetapi hanya boleh menikmatinya di restoran.

"Walaupun usia kandungan baru tiga bulan, saya cepat penat seakan-akan sudah mengandung enam bulan. Memang terasa betul perbezaan sewaktu mengandungkan Sefhia dengan sekarang.

"Berat badan juga tidak naik, sehinggakan doktor risau. Saya tidak ada mengamalkan sebarang makanan tambahan sepanjang mengandung, hanya mengikut apa yang doktor sarankan dan selebihnya menjaga makan dan minum.

"Insya-Allah saya akan menghentikan aktiviti seni sekitar September nanti. Saya tidak lagi menerima sebarang 'job' baru, sebaliknya hanya menghabiskan saki baki tawaran yang sudah dipersetujui lebih awal. Ada satu lagi drama yang perlu saya siapkan, selepas itu barulah saya akan berehat," katanya yang dijangka bersalin pada November depan.

Menyentuh mengenai program Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom, Elly berkata, dia sudah bersedia jika ada peminat mahu membandingkan program itu dengan program masakan lain.

"Saya sedar, mesti ada perbandingan. Tapi, saya memandangnya dari sudut positif. Beri program ini peluang dan jika ada komen yang membina, saya terima dengan berlapang dada.

"Saya bersedia dan tak kisah dibandingkan kerana sekurang-kurangnya dapat juga belajar untuk memperbaiki apa yang kurang.

"Apapun, saksikan kelainan yang bakal kami bawakan. Selain menjemput artis undangan, ia juga dimuatkan cabaran dalam setiap episod untuk memeriahkan lagi kandungan program," katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 6:00am
d