utama

Redah sampai Phan Thiet

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Keluhan nelayan yang sering pulang dengan tangan kosong saban hari ketika turun ke laut membuatkan penulis merasakan ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan perairan negara.

Bayangkan lautan perairan tempatan yang keseluruhannya seluas 614,000 kilometer mana mungkin tidak memberikan sedikit pun hasil kepada nelayan tempatan.

Kemusykilan itu membuatkan penulis yang sering turun ke laut melakukan aktiviti pancing laut dalam mula mencari punca bagi merungkai jawapan kepada persoalan misteri kekurangan sumber laut tempatan yang membelenggu kebanyakan nelayan.

Bermula April 2019, penulis mula mengatur satu persatu strategi, apa yang difikirkan ketika itu hanyalah mahu mencari jawapan bagi membantu nelayan tempatan yang semakin 'sukar bernafas' dek kekurangan sumber pendapatan.

Berdasarkan maklumat dikongsi, kekurangan sumber hasil laut didakwa disebabkan pencerobohan nelayan asing yang tidak terkawal di perairan tempatan sejak beberapa tahun sebelumnya.

Dengan bantuan agensi penguatkuasaan tempatan, penulis kemudian merancang satu misi khas bagi melihat sendiri sejauh mana kebenaran dakwaan yang diterima sebelum berangkat ke Vietnam pada Jun 2019.

Penulis terpaksa meredah perjalanan sejauh 1,500 km untuk sampai ke daerah Phan Thiet yang berada di sebelah utara Vietnam yang dipercayai menjadi lubuk hasil laut tempatan mendarat.

Misi diredah tidak semudah disangka apabila penulis bersama jurugambar Zulfadhli Zulkifli dan pasukan perisikan salah sebuah agensi penguatkuasaan negara terpaksa melalui pelbagai cabaran bermula diperiksa dengan teliti di pintu masuk lapangan terbang di Ho Chi Minh serta diasak dengan satu persatu soalan.

Bagaimanapun, semuanya dapat dilalui sebelum penulis memulakan perjalanan ke lokasi dikenal pasti. Setiba di Phan Thiet, penulis berjumpa dengan penterjemah yang juga rakyat negara itu yang membantu misi berjalan lancar.

Amat 'bertuah' apabila penulis berjaya menemui serta menemu bual sekumpulan nelayan Vietnam yang mengakui menjalankan pencerobohan di perairan Malaysia sejak beberapa tahun lalu sebelum membawa semua hasil laut ke negara mereka.

Tinjauan di jeti daerah itu juga mendapati hampir keseluruhan hasil laut yang didaratkan setiap hari adalah daripada perairan Malaysia. Mereka didapati menggunakan taktik klon bot nelayan bagi mengaburi pihak berkuasa Malaysia.

Penulis turut berjaya menemui bot klon berkenaan dengan nombor pendaftaran dan spesifikasi sama seperti yang digunakan nelayan Malaysia.

Misi selama empat hari di negara terbabit berjaya mengumpul pelbagai maklumat mengenai pencerobohan dilakukan nelayan asing, sekali gus mendapat jawapan kepada kemusykilan yang melanda kebanyakan nelayan Malaysia.

Sejurus tiba di tanah air, penulis bersama pasukan wartawan mula mendedahkan mengenai kegiatan terbabit menerusi laporan eksklusif secara bersiri.

Laporan turut mendedahkan terdapat rakyat tempatan yang menjadi dalang aktiviti pencerobohan berkenaan.

Hasil pendedahan yang dilakukan itu turut dibahaskan di Parlimen sebelum rang undang-undang perikanan dipinda.

Bagi penulis, kejayaan misi kali ini bukan sekadar keberhasilan risikan dan pendedahan dilakukan namun ia lebih bermakna apabila dapat melihat wajah gembira nelayan tempatan yang akhirnya mampu mengukir kembali senyuman ketika turun mencari rezeki di lautan biru.

Laporan bersiri bertajuk RM100,000 Upah Klon Bot memenangi Hadiah Saguhati kategori Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2019

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 6:40am
d