utama

Bukan nak bersaing

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SELEPAS 14 tahun menyepi, kumpulan vokal harmoni, Voices of Euphonious atau lebih dikenali sebagai VE kembali hadir melangkah dalam industri muzik tanah air dengan langkah yang lebih matang.

Matang tidak hanya daripada sudut usia, tetapi juga pemikiran dan muzik yang mereka sajikan buat peminat.

Melalui beberapa fasa, VE kini selesa dianggotai empat anggota iaitu Zaf dan Cham selaku anggota asal. Mereka turut disertai dua anggota baharu iaitu Adeep Nahar dan Luqman Hakim menjadi pelengkap untuk suara harmoni mereka.

Berpeluang bersua muka baru-baru ini, VE berkongsi hala tuju muzik mereka dalam era industri muzik yang dibanjiri dengan bakat baharu yang tak kurang hebatnya.

"Dalam pada kami masih mengekalkan identiti muzik VE itu sendiri, kami sedar hakikat muzik berubah seiring peredaran zaman.

"Sejak kami 'berhenti' pada 2007 sehinggalah ke hari ini, banyak perubahan daripada segi muzik yang berlaku dan kami tak nafikan, itu sedikit sebanyak menjadi salah satu faktor kenapa kami lambat untuk membuat kemunculan semula," kata Zaf membuka sesi temu bual.

Daripada riak wajah keempat-empat mereka, jelas sekali kelihatan semangat untuk masing-masing menghidupkan semula kumpulan vokal harmoni yang pernah mencipta zaman gemilang mereka menerusi lagu Ayu suatu ketika dulu.

Berkongsi mengenai persaingan dengan pemuzik baharu yang muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan, Zaf menegaskan kehadiran semula mereka bukanlah untuk bersaing.

"Sekarang, ramai bakat baharu yang berkualiti dan kehadiran kami di sini bukanlah untuk bertanding dengan mereka. Bayangkan, seorang penyanyi berusia 40-an, menyanyikan lagu yang sesuai untuk penyanyi berusia 20-an tentunya tidak kena.

"Jadi, kami nak tambah variasi lagu yang ada dalam industri kita dan sajikan sesuatu yang menjadi alternatif buat pendengar," katanya.

Bagi Adeep, dia yang berkarya sejak 2002 dididik supaya mengukuhkan kerjasama sesama anak seni.

"Kami penyanyi lama dididik untuk bekerjasama untuk memeriahkan industri muzik. Sejujurnya, muzik yang ada pada hari ini, bunyinya lebih kurang sama, namun enak didengar.

"Kami dalam VE sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan penyanyi baharu atau sekarang disebut BBNU (Budak Baru Nak Up). Kalau diizinkan, kami nak sangat. Tak kiralah sama ada BBNU atau apa-apa genre sekali pun seperti punk, ska dan sebagainya, kami tak ada masalah untuk bekerjasama," katanya.

Cham yang berkongsi pendapat sama turut menyebut nama band yang dilihat sebagai satu daripada kerjasama dalam senarai mereka.

"Sekarang, kita dapat lihat muzik hip hop sedang rancak semula. Namun, kumpulan vokal yang menyanyikan lagu berentak R&B pula tak ada. Pernah juga kami terfikir untuk bekerjasama dengan band seperti Kugiran Masdo. Mana tahu kita dapat hasilkan sesuatu yang berbeza," katanya.

Terkini, VE hadir dengan single berjudul Tunggu hasil ciptaan Zaf, Adeep, Uno dan AJ manakala liriknya hasil ciptaan Zaf, Adeep serta Cham.

"Alhamdulillah, disebabkan kami pun dah 'gian' nak menyanyi, kini kami hadir dengan single terbaharu berjudul Tunggu. Ia adalah simbolik kepada VE dan mengisahkan mengenai hubungan anak lelaki dengan seorang ibu.

"Jadi, secara tak langsung, ia kena dan dekat dengan kita semua yang mendengar," kata Zaf.

Adeep pula menjelaskan ia adalah satu karya yang sesuai dengan usia mereka yang semakin matang.

"Orang yang mendengar mungkin akan menganggap ia lagu yang berkisar mengenai kisah cinta. Namun, sebenarnya kami terjemahkan kisah anak dan ibu.

"Sesuai dengan usia kami yang semuanya sudah berkeluarga, jadi ada mesej yang sesuai dengan usia kami dan bersifat positif," katanya.

Di YouTube, Tunggu sudah dilancarkan sejak 26 Mac lalu dan jumlah tontonannya juga sudah mencecah hampir 25,000 di samping mendapat pelbagai reaksi positif daripada peminat VE.

Selain Tunggu, VE juga tidak mahu menunggu lama untuk hadir dengan single terkini yang baru sahaja dilancarkan beberapa hari lalu, berjudul Antara Cinta & Ghairah.

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 6:00am
d