utama

10,000 koleksi Penang Library

Oleh BERNAMA

Butterworth: Sejak penubuhannya pada 1817, Penang Library yang kini dikenali sebagai Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) menyimpan rapi lebih 10,000 koleksi nadir yang mempunyai nilai sentimental dan sejarah tersendiri.

Pustakawan PPAPP Azizah Zainon berkata, koleksi itu merangkumi buku ilmiah, majalah, gambar lama, surat perjanjian, kitab agama, surat khabar serta lakaran peta berusia ratusan tahun.

"Koleksi berkenaan adalah bahan atau sumber peninggalan pihak tertentu dan individu terdahulu di perpustakaan ini yang pada ketika itu dikenali sebagai Penang Library.

"Semua koleksi tersebut mencerminkan identiti Pulau Pinang pada ketika itu dan ada koleksi yang berusia lebih 400 tahun iaitu sejak 1600 atau kurun ke-17," katanya ketika ditemui di PPAPP dekat Seberang Jaya di sini, kelmarin.

Koleksi paling berharga, katanya, ialah kitab Bible yang diterbitkan pada 1677 dan lakaran peta Georgetown pada 1877.

"Koleksi nadir yang terdapat di PPAPP ditempatkan di dalam sebuah bilik khas iaitu Koleksi Khas Pulau Pinang yang dikawal selia oleh empat pustakawan secara bergilir-gilir, malah kita tidak akan membenarkan akses kepada orang luar bagi menjaga koleksi memandangkan ada tekstur muka surat di dalam sesetengah buku yang sudah reput dan memerlukan penjagaan rapi," katanya.

Menurutnya, bilik khas terbabit dilengkapi sistem kawalan keselamatan yang tinggi dan suhu bilik juga dikawal bagi memastikan keadaan bilik sentiasa kering.

"Jika apa-apa berlaku ke atas perpustakaan ini, bilik ini akan diselamatkan terlebih dahulu kerana sumber dan bahan yang ada ini tidak mungkin diperoleh oleh mana-mana perpustakaan yang ada di Malaysia, malah dunia sekalipun," katanya.

Mengulas lanjut, Azizah menyatakan PPAPP kini dalam usaha mendigitalkan koleksi nadir terpilih ke dalam bentuk cakera padat dan mikrofilem bagi memudahkan pengkaji sejarah mahupun individu yang berminat untuk menjadikan sesebuah bahan nadir itu sebagai rujukan.

"Setakat ini kami sudah mendigitalkan bahan nadir terpilih sebanyak 60 peratus, malah kita akan cuba mendigitalkan sebanyak mungkin koleksi yang dirasakan mempunyai nilai sejarah yang penting dan berkaitan dengan perkembangan sejarah Pulau Pinang itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, PPAPP melaksanakan pemuliharaan koleksi menggunakan teknologi canggih yang dikendalikan pustakawan bertauliah bagi mengekalkan kualiti tulisan dan gambar bahan terbabit.

Antara koleksi yang menarik perhatian Bernama ialah surat khabar sejak zaman pendudukan British dan Jepun sekitar 1940-an dan 1950-an seperti Malai Simpo (akhbar edisi bahasa Inggeris pada zaman Jepun, 1943), Penang Shimbun (akhbar edisi bahasa Inggeris zaman Jepun, 1943), Sunday Gazette (akhbar zaman British, 1952 dan 1953) dan juga The Straits Eco (akhbar zaman British pada 1957) yang dijilidkan oleh PPAPP untuk dijadikan sumber rujukan peminat bahan bersejarah.

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 7:01am
d