utama

'Saya pernah diuji bertimpa-timpa' - Muhammad Hamdi

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Di sebalik kejayaannya dipilih melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard, tiada siapa menyangka bukan mudah Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, sampai ke tahap ini kerana ada harga perlu dibayar.

Tidak seperti rakan sebaya, Muhammad Hamdi, 20, sudah matang sebelum usianya kerana perlu menempuh pelbagai ujian hidup seawal usianya 10 tahun lagi.

Muhammad Hamdi mengakui, dia bukanlah pelajar pintar, namun pengalaman hidup dilaluinya itu membuatkan dirinya berusaha keras belajar bersungguh-sungguh.

"Keluarga saya bukan orang senang. Ayah hanya eksekutif jualan syarikat telekomunikasi manakala mak pula bekerja sambilan.

"Namun, keluarga tetap utamakan pelajaran sampaikan kami perlu berjimat cermat, kadangkala terpaksa pinjam orang lain dan meminta ihsan guru menangguhkan bayaran yuran tuisyen Sains dan Matematik saya.

"Malah, sebagai anak sulung saya mula ambil tanggungjawab menguruskan rumah dan menjaga nenek yang mengalami diabetes dan parkinson sejak saya darjah empat lagi," katanya.

Katanya, dia mengalami kemurungan dan patah semangat selepas neneknya meninggal dunia ketika usianya 15 tahun.

"Pemergian nenek membuatkan saya rasa kehilangan kerana saya lebih rapat dengan nenek.

"Ujian bertimpa-timpa apabila saya disahkan pula menghidap psoriasis, penyakit kulit yang membuatkan kulit saya bersisik dan gatal.

"Ia membuatkan saya malu dan tidak hadir ke sekolah lebih sebulan, namun saya bersyukur tidak terus hanyut apabila sedar pelajaran perlu diutamakan," katanya.

Muhammad Hamdi berkata, selepas meraih 9A 1B dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, Kuantan, Pahang, dia memohon Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur.

"Jika dulu saya hanya pergi sekolah belajar dan pergi tuisyen semata-mata untuk lulus peperiksaan dan masuk pertandingan berbahas bahasa Inggeris kerana fikir senang nanti dapat kerja bagus.

"Tetapi apabila masuk Sekolah Sains Alam Shah, saya mula sedar makna belajar lebih daripada itu dan di sinilah saya tahu mengenai biasiswa dan peluang melanjutkan pengajian di universiti selain bersaing dengan rakan-rakan.

"Untuk capai ke tahap ini bukan mudah kerana saya bekerja keras termasuk bangun awal 4 pagi mengulang kaji mata pelajaran dan banyak bergaul dan bertanya dengan rakan lain serta guru. "Selain itu, hanya Allah tempat saya bergantung dan meminta pertolongan apabila melalui dugaan," katanya.

Menurutnya, dia menjadikan pakar ekonomi berjiwa rakyat, Dr Muhammed Abdul Khalid sebagai idola hingga menginspirasikannya memilih bidang ekonomi.

"Saya tertarik cara dia mengulas isu rakyat termasuk kepentingan anak golongan B40 belajar di sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan isu kebantutan kanak-kanak tidak cukup nutrisi di negara kita.

"Sejak itu, saya mula mencari maklumat mengenai dirinya termasuk membeli buku tulisannya, The Colour Of Inequality: Ethnicity, Class, Income and Wealth in Malaysia," katanya.

Mengenai persiapan berangkat ke Amerika Syarikat (AS) Ogos ini, katanya dia akan selesaikan semua urusan termasuk dokumen perjalanan dan visa selepas tamat peperiksaan di Kolej Tuanku Ja'afar, Mantin, Negeri Sembilan, Jun ini.

"Saya rancang, walaupun berada di AS nanti, saya ingin membuat kandungan di saluran YouTube bagi berkongsi perjalanan hidup saya mana tahu dengan cara ini saya boleh membantu dan galakkan lebih ramai pelajar terutama senasib saya tidak patah semangat dalam hidup.

"Saya juga tidak tahu kemampuan saya di sana nanti macam mana tetapi saya akan ambil peluang ini dan berusaha sedaya upaya untuk berjaya dan mengubah nasib hidup.

"Doakan saya mudah-mudahan dapat menyumbang semula kepada masyarakat dan negara suatu hari nanti," katanya.

Selain Muhammad Hamdi, seorang lagi pelajar, Jarell Cheong Tze Wen,20, turut menerima tawaran ke Universiti Harvard, Ogos ini.

Berita berkaitan

'Tak sangka masuk Universiti Harvard bersama'

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 3:17pm
d