utama

'Rapunzel' akhirnya potong rambut

Oleh Agensi

New Delhi: 'Rapunzel Gujarat' iaitu gadis berambut paling panjang di dunia akhirnya memotong rambut buat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Nilanshi Patel dari Modosa, Gujarat merangkul gelaran itu dari Guinness World Records pada 2018 kerana memilik rambut sepanjang 170.5 sentimeter (sm) ketika berusia 16 tahun.

Kali terakhir remaja itu mengukur rambutnya adalah pada Julai tahun lalu, beberapa hari sebelum sambutan hari lahirnya.

Ketika ukuran dibuat, rambutnya merekodkan 200sm panjang, sekali gus mengekal terus gelaran dimilikinya sebelum itu.

Kini, gadis itu membuat keputusan untuk memotong rambutnya.

Detik bersejarah itu turut dirakamkan Guinness World Record menerusi video berdurasi seminit di Instagram.

Dalam video berkenaan, Nilanshi sempat memperagakan rambutnya yang panjang sebelum dipotong.

"Saya sangat teruja dan sedikit gementar kerana tidak tahu bagaimana wajah apabila berambut pendek.

"Jadi, mari saksikan apa akan berlaku dan diharap ia menjadi sesuatu yang menakjubkan," katanya.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 7:05am
d