utama

Jual 400 martabak sehari [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Butterworth: "Biar lebih tak pa (tiada apa), asalkan jangan kurang." Itu prinsip yang dipegang peniaga, Rosli Ishak, 52, dalam jualan martabak yang dipelopori sejak lebih 20 tahun lalu.

Konsep berkenaan menyebabkan gerai martabak yang diusahakannya mendapat perhatian ramai sehingga ada yang sanggup beratur panjang dalam tempoh masa lama setiap kali Ramadan.

Walaupun berdepan dengan kenaikan harga barangan mentah pada setiap tahun, kualiti dan cita rasa 'Lee Murtabak' tetap sama sekali gus ia tidak dilupakan pelanggan tetap.

Rosli berkata, dia sentiasa menitikberatkan perihal kualiti dan citarasa kerana mahu memberi kepuasan kepada semua pelanggan yang merasai martabak yang dijualnya.

"Apabila pelanggan puas, mereka akan datang lagi sebab itu bila berniaga saya tidak mahu berkira dengan mengurangkan bahan dan sebagainya walaupun harga barangan mentah sekarang naik.

"Prinsip saya biar bahan lebih, asalkan jangan kurang. Ia menjadikan kualiti dan cita rasa sama seperti apa yang saya jual lebih 20 tahun lalu sehingga hari ini," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Seberang Jaya, di sini.

Katanya, dari segi harga dia turut mengekalkannya sama seperti dua tahun lalu kerana memahami keadaan masyarakat kini yang terhimpit akibat pandemik Covid-19.

"Saya faham dalam keadaan sekarang, memang ramai yang ada masalah kewangan maka saya mengekalkan harga sama seperti dua tahun lalu biarpun berdepan dengan kenaikan harga barangan mentah," katanya.

Katanya, setiap kali Ramadan dia menjual lebih 400 martabak ayam dan daging sehari mengikut kepada adunan tepung yang dibancuhnya.

"Jika diikutkan saya boleh jual sekitar 1,000 martabak sehari kerana permintaan pelanggan sangat tinggi, apatah lagi ada yang sanggup beratur sampai 40 minit untuk beli, namun saya tidak mampu," katanya.

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 6:35am
d