utama

Minat mendalam

Oleh BERNAMA

Alor Gajah: Dua tahun lalu, ketika Sufyan Mohd Salleh, 61, bersara daripada kerjayanya sebagai pengarah di sebuah syarikat perkapalan yang memberi fokus dalam kejuruteraan marin, dia tidak menyangka akan membabitkan diri dalam bidang pembuatan busur.

Hanya berbekalkan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan mekanikal selepas menamatkan pengajian di Sekolah Vokasional Sungai Abong (kini Kolej Vokasional Muar), anak jati kelahiran Kampung Pulau, Durian Tunggal itu semakin mencipta nama sebagai antara pembuat busur terbaik di Malaysia walaupun baharu berjinak-jinak dalam bidang berkenaan.

Pengalamannya dalam bidang aeronautik, marin minyak dan gas yang membawanya mengembara ke 40 negara sepanjang kerjayanya, dicurahkan dalam penghasilan busur tradisional yang diberi nama Taming Sari, direka khusus oleh beliau sebagai anak jati Melaka.

"Saya menggunakan beberapa komponen seperti kayu ciku, tanduk kerbau dan epoksi fiber dalam menghasilkan busur tradisional ini kerana setiap bahan yang digunakan mempunyai kelebihan masing-masing.

"Contohnya epoksi fiber mempunyai tahap lentur yang tinggi dan mampu bertahan dengan daya tarikan maksimum manakala tanduk kerbau dan kayu ciku mempunyai ira yang sangat halus dan mampu diukir dengan baik," katanya ketika ditemui Bernama di Taming Sari Archery, di sini.

Dari segi pembuatan pula, Sufyan berkata, ketebalan epoksi fiber akan menentukan daya tarikan sebelum ia dipotong menggunakan teknik belahan bagi mendapatkan lengkungan sesebuah busur agar anak panah dapat dilepaskan dengan laju.

"Selepas epoksi fiber berkenaan dilenturkan, saya akan siapkan tempat pemegang anak panah (bow grip) dan 'siah' (limp tip) menggunakan sama ada tanduk kerbau atau kayu ciku, bergantung kepada permintaan pelanggan.

"Selepas itu, saya akan menyiapkan tali busur menggunakan benang khas dan setiap busur normal mampu dihasilkan dalam tempoh satu jam manakala bagi tempahan khusus pula sekurang-kurangnya dua hari," katanya.

Beliau berkata, antara kepuasan sebagai pembuat busur adalah ketika dikunjungi oleh seorang pelancong dari Hungary yang mahu menguji busur ciptaannya.

"Selepas mengujinya beberapa kali, pelancong berkenaan memutuskan untuk membeli dua busur dan membawanya pulang ke negara asalnya kerana tidak pernah melihat sebuah busur dengan nilai seni yang tinggi selain berkualiti untuk digunakan," katanya sambil menambah terdapat tiga jenis busur yang dikeluarkannya iaitu busur kanak-kanak, busur untuk berkuda dan busur tradisional.

Katanya, busurnya dijual dengan harga antara RM160 hingga RM450 namun pelanggan akan menikmati jaminan seumur hidup dengan setiap naik taraf adalah percuma.

Dia turut memberi latihan menggunakan busur serta mengadakan kursus membuat alatan berkenaan secara percuma di rumahnya kepada mana-mana pihak yang berminat.

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 12:00pm
d