utama

Lambaian rindu

Oleh Redzuan Muharam

Rantau Panjang: Kerinduan seorang wanita terhadap cucu dan cicitnya terubat walaupun hanya dapat melambai tangan dari jauh di tebing Sungai Golok, sempadan Kelantan-Thailand, di sini.

Begitulah detik menyedihkan dilalui Siti Yaroh Yusoff, 73, ketika melepaskan rindu terhadap cucu, Nor Shila Adnan, 24, dan cicitnya, Muhd Shaqif Daniel Muhammad Shahrulnizam yang berusia 20 bulan.

Rakaman video syahdu itu dikongsikan Nor Shila di TikTok sekali gus mengundang perhatian warganet yang tersentuh menyaksikan kejadian itu.

Menurut Nor Shila, video itu dirakam pada 12 April lalu iaitu hari dia bersama suami, Muhammad Shahrulnizam Zulkifli, 28, datang membawa anak tunggal mereka, Muhd Shaqif Daniel ke sempadan dua negara itu.

Nor Shila berkata, kedatangan ke situ adalah bagi memenuhi impian neneknya yang terlalu rindu dan mahu melihat anaknya dengan lebih dekat.

"Dulu, boleh dikatakan seminggu atau sebulan sekali saya akan ke Pattani, Thailand untuk menziarahi nenek yang tinggal di sana.

"Kali terakhir bertemu dengannya adalah sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika anak saya masih bayi lagi malah dia yang menjaga ketika dalam pantang.

"Selepas PKP dilaksanakan, kami terpisah dan hanya dapat berhubung menerusi panggilan video.

"Selepas lebih setahun, kami bertemu semula namun hanya dapat melihat satu sama lain daripada seberang sungai saja" katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurut Nor Shila, dia, suami dan anak datang daripada Pengkalan Chepa yang mengambil masa lebih sejam untuk tiba di Rantau Panjang.

Manakala, katanya, neneknya datang dengan ditemani sepupu dan saudaranya dengan mengambil masa tiga jam untuk sampai ke Golok dari Pattani.

"Kami luangkan masa selama sejam di situ dan perasaan bercampur-baur tetapi lebih kepada sedih kerana hanya dapat melambai tetapi tidak dapat menghampiri satu sama lain walaupun jarak kami dekat.

"Saya nampak nenek berulang kali melambai tangannya dan seperti berat hati untuk beredar namun apakan daya, kami terpaksa berpisah buat sementara," katanya.

Berhubung kisahnya yang tular di laman sosial, Nor Shila berkata, niatnya memuat naik video itu di TikTok sekadar untuk berkongsi pengalamannya terpisah dengan keluarga di negara jiran.

"Tak sangka pula video itu mendapat perhatian malah ramai senasib dengan saya dan berkongsi luahan mereka di ruangan komen.

"Diharap, kita semua terus berdoa semoga pandemik ini reda dan dapat bertemu semula dengan keluarga masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 2:42pm
d