utama

2 mangsa bot terbalik ditemui selamat

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Dua mangsa bot terbalik ketika mencandat sotong di Perairan Kuala Besar malam tadi ditemui selamat, hari ini.

Mat Awang@Jali, 54, dan Mat Harun Mohd Nor, 55, ditemui pemancing di tengah laut tidak jauh dari lokasi kejadian iaitu kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini, 3 petang tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, ketika ditemui, kedua-dua mangsa sedang berpaut pada kotak menyimpan ikan jenis fiber dan dalam keadaan lemah.

"Mereka dibawa ke Jeti Pantai Sabak Pengkalan Chepa dan akan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang belum ditemui iaitu Zulshahmi Danial Zulazman, 26 masih diteruskan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu kepada Zulshahmi Danial, Suzey Mustafa, 51, berkata, anaknya, turun dari rumah mereka di Nilam Puri tengah hari semalam selepas memberitahu akan ke laut untuk mencandat sotong.

Suzey berkata, dia kerap melarang anak bongsu daripada dua beradik itu daripada turun ke laut disebabkan risau dengan cuaca yang sering hujan kebelakangan ini.

"Biasanya jika keluar mencandat, dia akan pulang paling lewat pun sebelum Subuh namun pagi tadi dia masih tidak pulang menyebabkan saya berasa sangat bimbang.

"Tidak lama selepas itu saya menerima panggilan telefon daripada menantu memaklumkan kejadian yang menimpanya.

"Saya berharap anak akan ditemui dengan selamat seperti dua mangsa yang lain namun tetap reda jika berlaku sebaliknya," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 5:30pm
d