utama

Tong ikan jingga jadi penyelamat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Alhamdulillah, ayah ditemui ketika dia berpaut pada tong ikan selama 15 jam sebelum diselamatkan oleh pemancing pada 1 tengah hari tadi," kata Muhammad Firdaus Mat, 32.

Muhammad Firdaus, anak kepada Mat Awang @ Jali, 54, salah seorang mangsa yang terselamat selepas bot dinaiki bersama dua pemancing lain terbalik ketika mereka mencandat sotong di perairan Kuala Besar, malam tadi.

Menurutnya, bot dinaiki bapanya dipukul ombak dalam kejadian ribut dan air turut memenuhi bahagian dalam bot sebelum terbalik kira-kira 9 malam.

"Dalam keadaan kelam-kabut, Zulshahmi Danial Zulazman, 26, terjatuh dari bot lalu tenggelam dan ayah bersama seorang lagi pemancing, Mat Harun Mohd Nor, 55, cuba mencari mangsa, namun gagal.

"Bagaimanapun, ayah dan Mat Harun sempat berpaut pada tong ikan berwarna jingga yang dibawa dan ia mencuri perhatian pemancing yang melalui kawasan itu.

"Pada awalnya, pemancing berkenaan menghampiri tong ikan itu untuk mengambilnya kerana beranggapan ianya tong ikan kosong yang sedang terapung, namun terkejut kerana melihat dua individu sedang berpaut," katanya.

Katanya, sejurus diselamatkan, ayahnya kelihatan tidak bermaya dan kelaparan kerana sempat berbuka puasa dengan hanya minum air sahaja sebelum bot yang dinaiki terbalik.

"Ayah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan tiga lelaki hilang di laut selepas bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak di perairan Kuala Besar Badang ketika keluar memancing dan mencandat sotong, malam tadi.

Bagaimanapun, dua mangsa iaitu Mat dan Mat Harun ditemui pemancing di tengah laut tidak jauh dari lokasi kejadian iaitu kira-kira 10 batu nautika dari Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, pada 3 petang tadi.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang belum ditemui masih diteruskan.

TERKINI:

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 8:13pm
d