utama

Barang tak susut-susut

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Sejak Ogos tahun lalu sehingga ke hari ini, barang keperluan asas yang disediakan di gerobok rezeki Masjid As-Solihin, Padang Jawa di sini, tidak menyusut seperti sebelumnya.

Malah, ada beberapa barang keperluan seperti tepung menghampiri tarikh luput sehingga pengurusan masjid terpaksa mengambil pelbagai inisiatif termasuk memasak dan diagihkan kepada kariah serta penduduk sekitar.

Bendaharinya, Zamanhuri Ibrahim mengakui, situasi itu amat berbeza jika dibandingkan dengan suasana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali pertama pada tahun lalu.

"Kami hairan, barang keperluan asas di kabinet khas untuk gerobok rezeki masih berbaki dalam jumlah yang banyak sejak Ogos tahun lalu.

"Bila lihat balik, kita tidak menolak kemungkinan kemudahan i-Sinar selain i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi faktor orang ramai tidak lagi datang mengambil bekalan keperluan asas di sini.

"Mungkin ramai juga yang sudah kembali bekerja, ekonomi keluarga semakin pulih dan kerana itu mereka tidak datang lagi," katanya.

Ketua Lajnah Kebajikan Masjid As-Solihin, Soleh Ahmad berkata, menurut buku rekod harian gerobok rezeki masjid itu, sepanjang April setakat ini, hanya dua individu datang mengambil makanan.

"Ketika PKP, sehari mencecah 45 individu yang datang ambil makanan, malah kami perlu menyediakan bantuan keperluan asas dalam jumlah yang banyak.

"Tetapi sambutan terhadap foodbank mula berkurangan selepas Julai apabila kerajaan memberi pelbagai bantuan dan pengeluaran KWSP.

"Cuma yang masih datang ambil adalah mereka tiada KWSP dan warga emas tidak kerja serta mualaf," katanya.

Bagi Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang juga Pengurus Masjid Seksyen 7, Zulhelmi Mohd Hassan pula berkata, sejak solat berjemaah di masjid susulan PKP tiada, bekalan makanan di gerobok rezeki masjid tidak pernah habis, malah ada yang menghampiri tarikh luput.

"Sebelum 18 Mac, untuk gerobok rezeki, kami memperuntukkan RM1,500 hingga RM2,000 sebulan dan jumlah barangan keperluan itu habis dalam tempoh dua hingga tiga minggu sahaja.

"Mereka yang datang pula membabitkan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), musafir, asnaf selain orang luar," katanya.

Menurutnya, apabila PKP dikuatkuasakan semula, gerobok rezeki langsung tidak mendapat sambutan.

"Ini kerana orang tidak keluar rumah. Kita pula tambah barangan makanan seperti biasa kerana kita risau ramai yang datang. Bagaimanapun, berlaku sebaliknya.

"Kita juga tahu, orang di luar sana meminta-minta, tetapi kerana masjid ditutup, orang tidak dapat datang malah mungkin bimbang untuk keluar rumah," katanya.

Menurut Zulhelmi yang juga Imam 1 Masjid Seksyen 7, pihaknya kemudian mendapatkan bantuan daripada kariah masjid untuk mengesan pihak yang memerlukan.

"Kita dapat dan ada yang kita bantu secara sekali bayar dengan memberi sumbangan RM150.

"Bukan itu saja, kita juga dapatkan alamat mereka yang memerlukan dan pergi ke rumah mereka. Kita memang mahu pastikan makanan di gerobok rezeki ini sampai kepada sasarannya. Kita tidak mahu simpan," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan juadah berbuka puasa sebanyak 300 pek setiap hari untuk diagihkan memandangkan tiada kebenaran berbuka puasa di masjid sepanjang Ramadan ini.

"Bagaimanapun, kita tetap alu-alukan sesiapa saja yang mahu datang untuk mengambil makanan ini."Jika ada yang susah, maklumkan kepada kami dan kami boleh hantar kepada mereka jika perlu," katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 12:30pm
d