utama

Seni 'cap tarikh' Hannetie

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kota Kinabalu: Hanya menggunakan 'cap tarikh' bagi menghasilkan potret Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, itu bakat seni dimiliki Hannetie Anne Henry, 28, menjadikan karyanya tular sejak beberapa hari lalu.

Jururawat di Hospital Queen Elizabeth II, di sini, mengakui sekadar mahu mencuba sesuatu yang baharu untuk menghasilkan potret.

"Saya baru selesai menggunakan 'cap tarikh' ketika bertugas dan mula mengecap ia pada kertas.

"Selepas itu timbul idea untuk mencuba menghasilkan potret Dr Noor Hisham dan akhirnya berhasil," katanya ketika dihubungi.

Hannetie Anne berkata, dia merujuk potret Dr Noor Hisham menerusi Google sebelum menterjemahkannya di atas kertas.

Katanya, dia sememangnya aktif melukis potret sejak empat tahun lalu dan sudah menerima pelbagai tempahan.

"Namun, kali ini saya mahu cari kelainan dan cuba hasilkan potret menggunakan 'cap tarikh'.

"Tidak sangka ia berjaya dan seterusnya tular di laman sosial selepas dikongsi menerusi Facebook baru-baru ini," katanya yang berasal dari Penampang.

Katanya, penghasilan potret Ketua Pengarah Kesihatan itu juga dianggap sebagai hadiah kepada ketuanya yang menyambut hari lahir baru-baru ini.

Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 8:55pm
d