utama

Tarikan ayam tempayan naga [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Ayam tempayan naga antara juadah yang menjadi tarikan pengunjung apabila datang ke bazar Ramadan Stadium Darul Aman, di sini, bermula hari pertama umat Islam berpuasa.

Peniaga, Mohd Roshan Mohd Radzi, 35, berkata makanan itu berasal dari Dungun, Terengganu, namun resipi pembuatannya diubah suai secara turun-temurun oleh ahli keluarganya.

Katanya, dia bersama kakak saudara, Noraini Hamid, 43, dan sepupu, Norhamidawati A Wahab, 36, berniaga di bazar itu hampir tiga tahun dan sambutannya agak baik.

"Tahun lalu kami tak berniaga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, tetapi masih menjual ayam tempayan naga ini melalui penghantaran dari rumah ke rumah (COD).

"Setiap hari kami menjual lebih 200 ekor ayam yang dibakar selama 30 minit dalam tempayan besar yang dicampur madu. Hanya dalam tempoh dua jam, semuanya habis licin," katanya ketika ditemui, di sini.

Mohd Roshan berkata, dia dan ahli keluarga lain berasal dari luar Kedah berhijrah ke negeri ini sebelum PKP dan menetap di Jalan Datuk Kumbar, di sini.

Katanya, setiap ayam akan diperap dengan rempah ratus yang dibuat sendiri sebelum dibakar dalam tempayan bermula sekitar jam 1 tengah hari setiap hari.

"Orang ramai akan beratur hendak beli ayam tempayan ini mulai jam 3 petang dan ada pelanggan tetap membuat pesanan awal bagi mengelak kehabisan.

"Pada mulanya saya bercadang mahu tambah jumlah tempayan pada tahun ini kerana hanya ada enam tempayan, tetapi tidak kesampaian disebabkan saiz tapak agak terhad.

"Namun, kami sentiasa bersyukur kerana mampu menjual kira-kira 200 ekor ayam sehari," katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 7:01am
d