utama

'Kami diuji penyakit kronik, tapi kami bahagia' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Rawang: Kehidupan Norzam Iskandar Nor Idris dan Auni Afiqah Muthal'lib tidak sama seperti pasangan suami isteri lain kerana kedua-dua mereka diuji dengan penyakit kronik.

Norzam Iskandar, 42 mengalami 'Muscular Dystrophy' yang menyebabkan otot lemah dan tulang badan belakang membengkok manakala Auni Afiqah, 31 menghidap barah tiroid serta kegagalan buah pinggang tahap lima.

Namun, ujian itu bukan halangan untuk Norzam Iskandar dan Auni Afiqah mengecap bahagia sebaliknya kekurangan itu yang melengkapi mereka supaya saling menjaga satu sama lain.

Bercerita lanjut, Auni Afiqah yang menetap di Taman Tun Perak, di sini berkata, dia dan suami berkenalan pada 2013 di Facebook (FB) sebelum berkahwin Jun tahun sama.

"Sejak awal perkenalan lagi, saya sudah maklum dengan keadaan suami, begitu juga dia yang tahu saya ada penyakit .

"Alhamdulillah, hubungan kami direstui kedua belah keluarga dan akhirnya sepakat mendirikan rumah tangga.

"Seperti pasangan lain, kami juga mengimpikan zuriat cuma keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan untuk hamil dan mujurlah, suami serta keluarga faham," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Auni Afiqah, dia mencari rezeki sebagai perunding kecantikan manakala suaminya bekerja dari rumah sebagai pegawai pemasaran sebuah syarikat pembuatan baja.

Katanya, selain bekerja, rutin hariannya dan suami adalah memantau keadaan satu sama lain kerana masing-masing mempunyai penyakit yang perlu diberi perhatian serius.

"Saya mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak berusia empat tahun sebelum disahkan menghidap barah tiroid pada 2018.

"Ibu (Sarina Ham@Izaham, 56) pernah mendermakan buah pinggangnya namun hanya dapat digunakan sementara kerana tidak serasi.

"Pada 2000, seorang lagi individu mendermakan buah pinggangnya kepada saya tetapi hanya bertahan sehingga 2009 sebelum dikeluarkan semula kerana terdapat sel barah di dalamnya.

"Sejak itu, saya bertahan dengan menjalani dialisis dan kebiasaannya, suami yang menemani saya ke pusat rawatan," katanya

Auni Afiqah berkata, biarpun ada kekurangan fizikal, suaminya lebih suka berdikari kerana tidak suka menyusahkan orang lain.

"Suami menggunakan kerusi roda dan di rumah, dia bergerak dengan mengengsot. Saya tidak membantunya sepanjang masa kerana ada ketikanya tidak larat tetapi dia cuba berusaha sendiri.

"Saya kagum dengan semangatnya dan ada berkongsi kisah itu di TikTok tetapi tidak menyangka perkongsian berkenaan mendapat perhatian netizen kerana niat saya sekadar berkongsi pengalaman," katanya turut mempunyai masalah pendengaran bahagian kiri dan tidak dapat membuang air kecil.

Sementara itu, Norzam Iskandar berkata, dia bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sabar dan bertahan dengannya walaupun mempunyai kekurangan.

"Saya mula mengalami penyakit berkenaan ketika berusia 13 tahun dan keadaan bertambah serius ketika di tingkatan empat.

"Asalnya, saya boleh berjalan tetapi hilang keupayaan itu pada 2018 selepas mengalami strok ringan (mild stroke).

"Sejak itu, isteri banyak membantu dan saya hargai pengorbanannya malah rumah tangga kami bahagia walaupun tanpa zuriat," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 8:00pm
d