utama

'Adik reda putus jari, jadikan ia iktibar'

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: "Ketika kejadian, saya di dalam rumah sebelum berlari keluar apabila mendengar bunyi mercun yang menyebabkan jari adik saya hancur," kata Khairul Azwan Che Ghani, 25.

Dia adalah abang kepada Aiman Hakim Che Ghani, 19, yang putus jari telunjuk tangan kanan akibat bermain 'mercun bola' seorang diri di hadapan rumahnya di Kampung Banggol Kulim, di sini, 8.30 malam, Sabtu lalu.

Khairul Azwan berkata, mereka sekeluarga menyedari kejadian itu selepas tangan Aiman berdarah dengan banyak, selain mendengar keluhan rasa sakit.

"Aiman kemudian dibawa ke klinik berdekatan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana kecederaan tangan yang agak kritikal.

"Sepanjang perjalanan ke hospital dia hanya mengadu sakit mungkin kerana masih terkejut dengan apa yang terjadi.

"Dia ditempatkan di wad selama empat hari dan doktor terpaksa memotong jari telunjuk berkenaan akibat kecederaan yang teruk, adik saya hanya reda dengan keputusan pihak hospital.

"Alhamdulillah, keadaan Aiman semakin baik dan menjadikan pengalaman ini sebagai iktibar untuk lebih berhati-hati kerana tidak menyangka tiba-tiba sahaja dia menjadi cacat kekal (di tangan)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairul Azwan berkata, adiknya yang juga anak ke 10 daripada 11 adik beradik itu, sebenarnya baru sahaja mencuba bermain mercun sepanjang Ramadan kali ini, dan tidak menyangka ia membawa petanda buruk buatnya.

"Kami adik-beradik bukan tidak pernah bermain mercun, mungkin kali ini bukan nasibnya.

"Saya juga diberitahu ketika kejadian dia tidak sempat membaling mercun berkenaan menyebabkan ia meletup di tangan.

"Sebagai abang, saya juga berasa kasihan dan tidak menyangka ia terjadi pada ahli keluarga sendiri, justeru saya nasihatkan kepada anak muda lain untuk berhati-hati dan tidak bermain mercun terutama di sepanjang Ramadan ini," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 9:05pm
d