utama

Legasi Sheikh Kadir

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Walaupun dikelilingi pembangunan pesat di kawasan sekeliling namun Masjid Jamek Seremban di sini, yang dibina pada 1900 terus kekal terpelihara sebagai pusat syiar Islam dan pembangunan ummah.

Menyingkap sejarah pembinaannya, masjid ini yang dahulunya dikenali sebagai Masjid Jamek India dikatakan masjid tertua di Negeri Sembilan dengan usianya mencecah 121 tahun.

Imam masjid, Mohammad Hamat berkata, masjid yang terletak di Jalan Tun Dr Ismail ini dibina oleh keluarga Sheikh Abdul Kadir, yang dikatakan antara pendakwah terkenal dan pedagang berasal dari Timur Tengah.

"Mengikut catatan sejarah, tapak masjid ini diwakafkan oleh keluarga berkenaan sebelum mereka meninggal dunia.

"Bangunan utama ini dibina pada 1900 manakala menara pada 1924 dan dirasmikan oleh Datuk Bandar ketika itu, Haji Ahmad Ali.

"Pada peringkat awal masjid ini dibina menggunakan campuran kayu dan simen. Ia sebagai langkah keselamatan untuk memudahkan masyarakat menunaikan solat memandangkan lokasinya berhampiran dengan sungai," katanya.

Beliau berkata, Masjid Jamek Seremban ini bukan sahaja dikenali sebagai masjid tertua, sebaliknya seni bina masjid juga kelihatan unik terutama pada bentuk kubahnya yang mana ia tidak terdapat pada mana-mana masjid di Negeri Sembilan.

Mohammad berkata, kebiasaannya, seni bina bangunan di Negeri Sembilan dikaitkan dengan unsur Minangkabau kerana sesuai dengan amalan Adat Perpatih, tetapi tidak pula dengan Masjid Jamek Seremban.

"Binaannya terdapat unsur dari China dan antara masjid yang mungkin mempunyai unsur yang sama dengan sebahagian besarnya di Melaka seperti Masjid Tengkera.

"Ia seluas 30 meter lebar dan 35 meter panjang serta dikelilingi beranda bersaiz 2.5 meter. Pada masa sama, mimbar asal masjid masih kekal.

"Masjid ini mempunyai 30 tiang kecil untuk mengukuhkan struktur binaannya, sekali gus mengekalkan reka bentuk asal," katanya.

Bagaimanapun, katanya, masjid ini sudah dinaik taraf termasuk diperbesarkan saiznya namun tidak mengubah struktur bangunan asal.

Beliau berkata, ia bagi menampung keperluan jemaah yang semakin bertambah.

"Dulu, ia hanya mampu menampung 500 jemaah pada satu-satu masa namun kini ia mencapai 1,000 jemaah," katanya.

Menurutnya, Masjid Jamek Seremban turut diiktiraf antara bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara.

"Keunikan seni bina berunsurkan Islam begitu terserlah dan dapat dilihat pada hampir kesemua bahagian masjid seperti dinding, tiang di beranda dan pintu tangga utama.

"Ia menjadikan masjid ini dikagumi ramai dan menjadi antara tarikan pelancong serta lambang keagungan syiar Islam di Negeri Sembilan.

"Ramai pengunjung yang datang melawat, bukan sahaja warga tempatan, malah dari China, Timur Tengah dan rantau ini," katanya.

Menurut Mohammad, masjid berkenaan berada di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan bagi mengimarahkannya, pelbagai program dijalankan termasuk ceramah agama, kelas bahasa Arab, feqah, tajwid, mengaji selain solat Tarawih.

Beliau berkata, selain memastikan kemudahan masjid diberikan perhatian untuk keselesaan jemaah, pihaknya turut berusaha memenuhi konsep masjid dalam taman.

"Usaha membina landskap di kawasan sekeliling masjid diberikan perhatian bagi menampilkan keceriaan, sekali gus menarik perhatian jemaah serta pengunjung," katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 6:40am
d