utama

Imam Surau Al Jawhar meninggal dunia akibat Covid-19

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Imam Surau Al Jawhar, Taman Impian Emas, di sini, disahkan keluarganya meninggal dunia akibat wabak Covid-19, Rabu lalu.

Adiknya, Muhammad Zulhilmi Jamaludin, 29, ketika dihubungi, berkata, abangnya, Muhammad Nazirul, 32, meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi, 28 April lalu.

Muhammad Zulhilmi berkata, dia dan bapanya, Jamaludin Arif, 60, yang turut positif Covid-19 sedang dikuarantin di sebuah hospital kerajaan sejak Rabu lalu.

"Ya abang saya yang juga Imam Surau Al Jawhar meninggal dunia Rabu lalu akibat Covid-19, seperti yang tular di media sosial hari ini.

"Namun, saya hanya boleh memberi pengesahan terhadap yang berlaku terhadap abang saya saja dan mengenai yang lain, biarlah pihak berwajib yang membuat penjelasan," katanya.

Sejak pagi tadi tular di media sosial yang memaklumkan imam, bilal dan pengerusi Surau Al Jawhar didakwa meninggal dunia akibat Covid-19.

Seramai 16 lagi jemaah surau berkenaan turut didakwa positif Covid-19.

Menceritakan lebih lanjut, Zulhilmi berkata, dia, Allahyarham abangnya serta bapa mereka berasa tidak sihat dan demam sejak 23 April lalu.

"Pada 24 April, saya, Allahyarham abang dan ayah membuat pemeriksaan di sebuah klinik berhampiran.

"Kami diberi ubat termasuk antibiotik dan pil demam, apatah lagi keluarga saya memang sering demam akibat tonsil yang bengkak, dan kami ingatkan ia kerana akibat penyakit yang sama.

"Allahyarham abang saya mengalami simptom demam dan tidak bermaya, saya pula demam dan sakit perut manakala ayah batuk dan tiada selera makan.

"Pada 27 April atau Selasa lalu, saya mengajak Allahyarham abang tidur di ruang tamu berikutan kawasan di situ lebih luas dan abang menurutinya, sebelum berehat dan tidur di situ.

"Ibu saya sempat memanggil Allahyarham untuk bersahur pada awal pagi 28 April atau Rabu lalu, dan abang tiada selera namun menjawab demamnya makin kebah," katanya.

Bagaimanapun katanya, kira-kira jam 8 pagi abangnya tiba-tiba mengadu sesak nafas dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Allahyarham Muhammad Nazirul dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas kira-kira jam 3.30 petang pada hari yang sama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 2, 2021 @ 6:06pm
    d