utama

Tak memilih asal anak terbela

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Temerloh: Hanya bekerja kampung dengan pendapatan yang tidak menentu sudah cukup menjadikan kehidupan keluarga ini sukar.

Ditambah dengan tanggungan dua anak orang kurang upaya (OKU) menyebabkan Mohd Lokman Md Yassin, 37, perlu bekerja lebih keras untuk memastikan kebajikan mereka terbela.

Namun sebagai ketua keluarga, dia tidak malu berusaha, malah terbuka menerima apa jua pekerjaan tambahan, mahupun bantuan dihulurkan pihak prihatin.

Katanya, dalam keadaan serba daif, dia tidak boleh menolak atau memilih bantuan diberikan sama ada daripada penduduk kampung mahupun orang luar.

Dua anak Mohd Lokman yang berusia 14 dan 13 tahun OKU cacat penglihatan dan pendengaran sejak kecil.

"Saya bersyukur kerana kedua-dua mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sedikit sebanyak meringankan beban saya.

"Gaji saya bekerja kampung ini tidak menentu. Kadang-kadang RM1,000, ada masanya tak sampai pun.

"Jika tidak ada kerja, saya terima saja apa bantuan yang orang bagi, saya tak kisah kerana anak dan isteri perlu makan dan pakai," katanya yang tinggal di Kampung Paya Keladan, Temerloh.

Mohd Lokman bersama isteri, Siti Fatimah Mei Abdullah tinggal bersebelahan rumah pusaka tinggalan ibu bapanya dalam keadaan serba kekurangan.

Dia juga memerlukan modal untuk membaik pulih rumah itu dan dalam proses membina kediaman yang lebih selesai buat keluarganya dengan hasil kudrat sendiri.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalur sumbangan menerusi akaun Affin Islamic Bank 105280004378 atas nama Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin).

Disiarkan pada: May 4, 2021 @ 7:30am
d