utama

Kluster takziah

Oleh Agensi

Jakarta: Kementerian Kesihatan Indonesia mendedahkan terdapat kluster baharu Covid-19 di negara itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pengarah Pencegahan dan Pengendalian Penyakit Berjangkit, Siti Nadia Tarmizi berkata, antara kluster itu ialah kluster tempat kerja, berbuka puasa, solat Tarawih dan kluster mudik (rentas kawasan untuk pulang kampung), lapor Kompas.

Ia menyumbang kepada peningkatan jumlah kes di negara itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Dalam beberapa minggu ini, beberapa kluster baharu dikenal pasti bermula dengan kluster tempat kerja, berbuka puasa, Tarawih di Banyumas, mudik di Pati dan kluster takziah di Semarang," katanya dalam sidang media.

Nadia berkata, antara faktor menyebabkan peningkatan kes adalah aktiviti berbual ketika makan.

Ia menyebabkan pihaknya memberi peringatan berkaitan protokol kesihatan.

Dalam sidang media sama, beliau turut memaklumkan ada peningkatan kes 5,241 dicatatkan Rabu lalu.

Sehari selepas itu kes dicatatkan berjumlah 5,833 kes baharu Covid-19.

"Bermaksud ada peningkatan sebanyak 600 kes. Ini tentunya menjadi amaran kepada kita," katanya.

Nadia berkata, lebih membimbangkan, jumlah kematian pesakit meningkat serta bilangan pesakit dimasukkan ke hospital bertambah.

"Ada peningkatan kematian 20 peratus begitu juga dengan mereka yang dirawat bertambah 1.28 peratus," katanya.

Terdahulu, dua kluster takziah dikesan selepas orang ramai menziarahi kematian.

Di Gunungkidul jangkitan bermula selepas orang ramai menziarahi kematian seorang pesakit Covid-19.

Di Semarang, wabak itu merebak selepas beberapa orang pulang menziarahi kematian di Temanggung dan singgah di Magelang.

Sejak 11 Januari hingga 26 April lalu, 2,114 perniagaan dan pejabat ditutup sementara akibat jangkitan wabak berkenaan.

Setakat ini, Indonesia merekodkan 1.68 juta kes Covid-19 dengan lebih 45,00 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 5, 2021 @ 5:59am
    d