utama

Dron bikinan Zek Aman

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Di sebalik tugas mulia sebagai pemandu van jenazah, terselit kemahiran menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron bertaraf profesional yang masih tidak diketahui ramai.

Kini, selepas lapan tahun terbabit dengan bidang elektronik itu, Zek Aman Abd Ghani, 42, sudah berjaya menghasilkan lebih 30 unit dron pelbagai saiz serta kegunaan yang kebanyakan komponen termasuk rangkanya dibeli dari China.

Menurutnya, di peringkat awal pembabitan banyak cabaran terpaksa dilalui terutama apabila dia belajar hanya dengan 'bergurukan' internet, bukan mudah untuk menghasilkan dron tanpa kemahiran serta latihan khusus.

Katanya, berbekalkan minat mendalam selepas lebih 30 kali berhadapan kegagalan namun akhirnya berkat kesabaran kejayaan diimpikan berpihak kepadanya apabila dron bersaiz kecil dapat diterbangkan ke udara.

"Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui perasaan saya apabila kali pertama dapat menerbangkan dron, air mata gembira tidak dapat ditahan untuk mengalir tanda rasa syukur pada Yang Maha Esa terhadap kejayaan diraih selepas mencuba banyak kali.

"Beberapa peringkat perlu dilalui sebelum dron dapat dihasilkan dengan sempurna selepas menerima peralatan dan komponen papan elektronik, kipas dan rangka tugas seterusnya membentuk rangka mengikut saiz diperlukan.

"Selepas rangka disiapkan tugas seterusnya memasukkan program ke dalam papan elektronik. Di peringkat ini kemahiran penting bagi memastikan misi menaikkan dan mengawal dron dapat dilakukan dengan berkesan," katanya yang bertugas selama 13 tahun sebagai pemandu bas dan van jenazah dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Beliau berkata, rangka dron diperbuat daripada beberapa bahan bermutu tinggi seperti aluminium dan gentian kaca serta bahan ringan lain, rangka akan mempengaruhi kualiti dron berkenaan yang mampu melakukan pelbagai tugas.

Zek Aman berkata, sepanjang lapan tahun terbabit menghasilkan pesawat tanpa pemandu ini pernah beberapa kali dron terjatuh dan mengalami kerosakan, namun dengan kemahiran yang ada ia boleh dibaiki tanpa perlu mengeluarkan belanja yang banyak.

Katanya, minat yang mendalam dalam dirinya menjadi faktor utama dia mampu menghasilkan dron walaupun tidak pernah mengikuti sebarang latihan atau kursus secara formal.

"Saya sanggup berjaga malam dan mengeluarkan perbelanjaan sendiri semata-mata untuk menghasilkan dron yang digunakan untuk mengambil gambar dan meracun di sektor perladangan.

"Minat berkenaan mampu memberi sumber pendapatan tambahan pada saya, dron dijual dengan harga antara RM1,500 dan RM60,000 bergantung kepada saiz dan kegunaannya.

"Saiz dron yang saya hasilkan antara 350 hingga 1,000 milimeter dengan berat 600 gram hingga lapan kilogram. Masa diambil untuk menyiapkan dron antara sehari hingga tujuh hari.

"Selain menghasilkan dron saya juga membaikinya, pemilik dron akan menghubungi saya apabila berlaku sebarang masalah dan kerosakan," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Kuantan itu.

Zek Aman berkata, sokongan yang diberikan pengurusan UMP menambahkan semangatnya untuk terus menghasilkan dron seterusnya berkongsi kemahiran dengan pelajar, pensyarah dan mereka yang meminati bidang berkenaan.

Tegasnya, dron mempunyai masa depan cerah kerana ia boleh digunakan dalam pelbagai sektor, malah negara maju sudah lama berjaya mempelbagaikan kegunaan pesawat tanpa pemandu itu.

"Penggunaan dron di negara ini lebih tertumpu dalam sektor pertanian selain untuk merakam gambar. Diluar negara ia digunakan untuk pertahanan dan mengawal ruang udara.

"Kita mampu memajukan dron jika agensi berkaitan terus memberi sokongan dari segi geran menghasilkan produk berkenaan yang agak tinggi.

"Walaupun tanpa pendidikan tinggi, saya yakin mampu menghasilkan dron pelbagai guna yang sama taraf dengan produk luar negara," katanya yang berasal dari Pekan.

Disiarkan pada: May 9, 2021 @ 8:01am
d