utama

Gol ala Maradona

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain veteran Kuala Lumpur City FC, Muhammad Shukor Adan boleh diibaratkan sebagai jelmaan legenda Argentina, Diego Maradona.

Apakan tidak, dia dikatakan berjaya menjaringkan gol menggunakan tangan untuk memastikan pasukannya seri 1-1 ketika menentang UiTM FC di Stadium UiTM malam kelmarin sama seperti Maradona melakukannya ketika menewaskan England pada suku akhir Piala Dunia 1986.

Walaupun perkara terbabit belum disahkan oleh pihak berkaitan, namun ketika ini tular gambar dan rakaman video perlawanan apabila hantaran dari sepakan percuma jelas disambut oleh tangan pemain berusia 42 tahun itu sebelum menerjah jaring UiTM FC.

Malah, jaringan pertama daripada bekas pemain Felda United dan Melaka itu juga turut mencipta rekod tersendiri sebagai penjaring gol tertua dalam saingan Liga Malaysia setakat ini. Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, pengendali UiTM FC Frank Bernhardt berkata, beliau belum pernah lagi menyaksikan kejadian seumpama itu termasuklah ketika menabur bakti di Eropah.

Beliau yang melihat perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC sebagai kurang bernasib baik turut terkejut jaringan menggunakan tangan boleh berlaku di Liga Super di negara ini.

"Saya boleh katakan pemain bermain dengan baik cuma tidak bernasib baik terutama tidak adil dengan jaringan dilakukan menggunakan tangan.

"Kami ada rakaman video dan gambar bukti namun tiada apa yang berlaku walaupun jelas terkena tangan pemain. Ini tidak munasabah boleh berlaku di sini.

"Namun, kami perlu bangkit untuk mencipta kemenangan pada perlawanan seterusnya dengan memastikan UiTM peroleh tiga mata penting," katanya.

Sebelum itu, penantian UiTM FC untuk mencipta kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian apabila diikat Kuala Lumpur City (KL City) 1-1.

Keputusan itu menyaksikan UiTM meraih mata kedua musim ini selepas tewas 11 aksi dan seri sekali dalam 12 aksi terdahulu untuk berada di tangga tercorot liga.

Manakala buat KL City pula, mereka gagal menggunakan peluang bertemu pasukan bawahan untuk cuba menambah tiga mata biarpun sebelum ini cukup gah mengejutkan beberapa pasukan terkuat liga.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 6:35am
d