utama

Sunyi, lengang, tiada suasana Aidilfitri

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Jika dulu tempat ini menjadi tumpuan untuk perantau pulang berhari raya, namun tahun ini suasana suram tanpa deretan dan kesesakan orang ramai membeli tiket berikutan pelaksanaam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Harian Metro di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) dan Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) mendapati keadaan sunyi, lengang dan tiada suasana Aidilfitri dirasai menjelang dua hari lagi perayaan itu.

Tiada hiasan Aidilfitri dan lagu raya berkumandang di kedua-dua lokasi tumpuan perantau itu menandakan seolah-olah negara sedang 'berkabung.'

Malah, orang ramai sedar dan akur dengan arahan kerajaan untuk tidak merentas negeri jika tiada urusan kecemasan, kerja atau kematian.

Peraturan yang dikuatkuasakan pengurusan TBS, hanya individu yang mempunyai permit rentas negeri saja dibenarkan membeli tiket di kaunter seterusnya pulang ke destinasi masing-masing.

Pengurus Kanan Operasi TBS Faizal Redza Redzuan berkata, tahun ini pihaknya menerima 300 penumpang sehari ke 60 destinasi berbanding 20,000 orang membabitkan 1,000 perjalanan pada 2019 iaitu sebelum Covid-19.

"Tidak sampai 50 peratus tiket terjual susulan pelaksanaan PKP dan larangan rentas negeri walaupun kita menyediakan 23,000 tiket bas ke 131 destinasi di Semenanjung untuk mereka yang mendapat kebenaran merentas negeri bagi tujuan pekerjaan dan kecemasan," katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Rafi Che Pilus, 27, dari Kemaman, Terengganu, mendapat kebenaran rentas negeri berikutan perkahwinan jarak jauh (PJJ) dengan isteri yang berada di Kemaman.

"Saya dari Johor dan pulang menaiki bas untuk berhari raya atas alasan PJJ dengan isteri.

"Suasana sangat suram di terminal ini, tidak seperti kebiasaan dua tiga hari menjelang Aidilfitri pasti keadaan riuh dan sesak di sini," katanya.

Bagi penuntut Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Nur Syahid Saharuddin, 24, dia pulang untuk menyambut Aidilfitri di Pahang.

"Saya mohon kebenaran rentas negeri untuk menaiki bas pulang ke Pahang dan Alhamdulillah diluluskan," katanya.

Tidak lupa bagi guru di Sarawak, Iskandar Shah Mohd Ismail, 27, yang mahu berhari raya di Batu Pahat, Johor.

"Alhamdulillah saya dapat merentas negeri kerana PJJ dengan isteri yang tinggal di Batu Pahat.

"Tahun ini pertama kali kami beraya sebagai suami isteri walaupun situasi agak mencabar, namun kerana tuntutan tanggungjawab saya perlu berada di pangkuan isteri.

"Saya bernasib baik kerana urusan dipermudahkan Allah selepas tiba dari Kuching semalam dan terus menaiki bas pulang ke Batu Pahat," katanya.

Pemandu bas ekspres, Wan Zam Zaini Wan Samsuddin, 57, berkata, keadaan agak sukar untuk mendapat penumpang memenuhi bas untuk satu perjalanan.

"Walaupun terdapat dua atau tiga penumpang pun kami kena jalan, paling ramai saya pernah bawa setakat ini adalah sembilan penumpang dalam satu bas.

"Kami akan masuk ke semua stesen untuk mengambil penumpang, selagi boleh 'kutip', kami kutip bagi membolehkan kami terus beroperasi.

"Kebiasaannya dari TBS kami terus ke Butterworth, Pulau Pinang tetapi keadaan agak sukar sekarang menyebabkan kami akan ke Hentian Duta, masuk ke Ipoh dan hentian lain untuk memenuhkan bas," katanya.

Dia yang sudah memandu bas lebih 20 tahun berkata, tidak sangka tahun ini juga rakyat Malaysia perlu berdepan dengan pandemik itu sehingga pergerakan rentas negeri juga dilarang.

"Kebiasaannya dua tiga hari menjelang raya, kami tidak menang tangan menguruskan penumpang untuk pulang berhari raya," katanya.

Suasana sama turut dirasai di KL Sentral apabila hanya kelibat mereka yang bekerja lalu lalang tanpa gelagat perantau menarik bagasi untuk pulang berhari raya.

Malah, peraturan dan pemeriksaan yang ketat dijalankan anggota polis terutama permit rentas negeri menyebabkan orang ramai tidak berani melanggar arahan itu kerana bimbang dikenakan kompaun.

Tinjauan Harian Metro mendapati, ketika penumpang Tren Elektrik (ETS) dari Butterworth tiba di KL Sentral pada 1.40 tengah hari tadi, kebanyakan mereka mempunyai surat rentas negeri dan majikan bagi mengelak dikenakan kompaun.

"Jika tiada surat rentas negeri atau majikan, kita akan kompaun serta merta," kata seorang anggota polis bertugas

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 5:33pm
d