utama

Ziarah rumah ke rumah, kubur tidak dibenarkan ketika Aidilfitri

Kuala Lumpur: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei ini, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Aidilfitri tidak dibenarkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dibenarkan dengan kehadiran jemaah tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah.

Beliau berkata, bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah, hanya 20 orang dibenarkan dan had bilangan jemaah sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

"Tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 seperti diumumkan Menteri Kanan Pertahanan pada 8 Mei 2021.

"Tarikh kuat kuasa bagi larangan dan arahan lain bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

"SOP terperinci bagi semua larangan dan arahan yang terkandung dalam PKP ini akan diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menggunakan sistem HIDE untuk memantau premis dan kawasan hotspot Covid-19 serta mengambil tindakan susulan seperti diputuskan.

"Saya berharap semua rakyat terus berdisiplin dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Yang terbaik ialah duduk di rumah atau stay at home untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.

"Kita telah berjaya melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 dalam gelombang pertama dan kedua penularan wabak ini.

"Saya ingin mengingatkan gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Kita masih belum menang.

"Hadapilah gelombang ketiga ini dengan penuh disiplin. Hanya diri kita yang boleh jaga nyawa kita sendiri selain ketentuan Ilahi," katanya.

Muhyiddin menasihatkan orang ramai supaya duduk di rumah jika tiada perkara penting perlu diurus dan wabak itu menjadi lemah dan tewas jika kita mengamalkan disiplin kendiri tinggi.

Beliau berkata, disiplin kendiri bukanlah sukar untuk dilaksanakan dan elakkan tempat yang sesak, jaga penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka di tempat awam.

Menurutnya, selain itu sentiasa bersihkan tangan pada setiap masa di samping mengamalkan kebersihan kendiri yang baik.

"Insya-Allah, dengan pertolongan Allah SWT, kita akan berjaya menewaskan virus Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2021 @ 8:41pm
d