utama

Langgar SOP, jamu anggota, bekas pegawai kanan polis disiasat

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan bekas pegawai kanan polis melanggar prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri seperti ditularkan di media sosial sejak semalam.

Bekas pegawai kanan itu berkongsi gambar yang menunjukkan ahli keluarga serta beberapa anggota polis menikmati jamuan hari raya di Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, satu laporan polis dibuat terhadap insiden berkenaan.

"Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jika sabit kesalahan kompaun RM10,000 boleh dikenakan ke atas pemilik rumah dan RM2,000 ke atas pengunjung.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, perkongsian lelaki itu juga turut tersebar di Twitter.

Beliau memaklumkan bahawa bekas pegawai kanan itu bersara pada 2007 dan jawatan terakhir adalah Timbalan Pengarah di Bukit Aman.

Menurut perkongsian bekas pegawai itu di FB, polis melakukan pemeriksaan berikutan terdapat enam kereta di hadapan rumahnya.

"Pasukan peronda yang menyelia dan memantau SOP menjenguk rumah kami untuk membuat pemeriksaan. Mereka dapati anak-anak yang tinggal dalam daerah ini juga balik dari semalam lagi.

"Terlanjur sampai, saya pelawa untuk makan lemang dan ketupat. Terima kasih kerana sudi menyantuni saya. Pegawai dan anggota polis pun manusia biasa juga yang ada perasaan, yang ada pertimbangan," tulisnya di Facebook.

Disiarkan pada: May 15, 2021 @ 2:28pm
d