utama

Jakim santuni golongan LGBT

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Seramai 1,700 peserta daripada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sudah menyertai program Mukhayyam sehingga 31 April lalu yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

  Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, ia adalah platform yang diwujudkan khusus untuk menyantuni golongan berkenaan sekali gus memberi pendedahan kepada kebenaran.

  "Apa yang membanggakan kita lagi, kini sudah terdapat sebanyak 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Hijrah dalam kalangan bekas peserta yang pernah mengikuti program Mukhayyam dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

  "Komuniti ini melaksanakan kelas pengajian al-Quran dan usrah sebagai kumpulan sokongan kepada komuniti untuk mendapatkan bimbingan agama yang dibimbing oleh pegawai agama dari Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri," katanya.

  Mohd Izwan berkata, Jakim berpendirian tidak bersetuju dengan perlakuan LGBT, namun tidak menafikan hak pelaku LGBT untuk dibimbing dan dinasihati.

  Beliau berkata, justeru, mengambil pendekatan untuk berdakwah dan membimbing golongan LGBT menerusi program Mukhayyam iaitu program selama tiga hari dua malam yang menekankan lima elemen utama.

  "Elemen berkenaan adalah kesedaran kerohanian, bimbingan fardhu ain, kesedaran kesihatan, motivasi kerjaya dan aktiviti berkumpulan.

  "Kita sekali ingin menegaskan bahawa mereka yang hadir tidak pernah dipaksa, bahkan datang secara sukarela khususnya untuk mendapatkan bimbingan agama," katanya.

  Beliau berkata, program Mukhayyam adalah program bimbingan kepada golongan LGBT agar berusaha menjalani kehidupan fitrah yang diajar di dalam Islam.

KES 1

Pesanan akhir ibu buka hati

Hanya bermula untuk mencari pendapatan sampingan yang akhirnya menjerumuskan diri dalam kancah perhubungan sejenis.

Itu yang dilalui oleh seorang lelaki dikenali Zack, 32, terhadap kehidupan songsangnya selama lebih sedekad sebelum 'tersedar' daripada mimpi buruknya.

Zack yang mempunyai personaliti lelaki sejati termasuk memiliki karier sendiri mendedahkan kehidupan songsangnya bermula ketika dia berada di sebuah institusi pengajian tinggi.

"Saya datang daripada kampung, mak ayah bukan daripada keluarga yang senang dan hanya petani kecil di kampung saja, dengan perbelanjaan saya ketika itu memang tidak cukup.

"Ketika itu, ada rakan di universiti yang mengajak saya melakukan 'kerja sambilan' dengan pendapatan ketika itu sekitar RM800 hingga RM1,000 sebulan.

"Ketika itu, saya rasa itu satu jumlah yang besar dan saya mula kerja sambilan itu dengan mendaftarkan diri di semua laman sosial," katanya kepada Metro Ahad.

Menceritakan lanjut, Zack berkata, peringkat awal memang rasa sangat pelik namun termakan pujukan rakan dan pendapatan sampingan yang agak lumayan ketika itu.

"Waktu itu, saya melayani lelaki pelancong luar hasil daripada laman sosial berkenaan, selalunya jika ada 'pelanggan', mereka akan deal dengan kita dahulu sebelum sampai ke negara ini.

"Selalunya, saya akan menjadi peneman mereka sepanjang mereka berada di negara ini dan dibayar sekitar RM1,000.

"Sejak daripada itu, saya tidak lagi meminta wang belanja daripada mak ayah di kampung sebaliknya saya yang memberi mereka wang dan ada ketikanya mereka bertanya tentang sumber kewangan saya," katanya.

Zack berkata, dia hanya memaklumkan ada melakukan kerja sampingan jika ada waktu kelapangan.

"Namun, benarlah naluri ibu itu kuat. Sebelum ibu saya meninggal dunia, dia ada berpesan supaya meninggalkan semua pekerjaan yang tidak diredai oleh Allah SWT kerana dia (ibu) tidak mampu untuk bersoal jawab dengan Allah kelak.

"Kata-kata itu benar-benar memberi penyesalan kepada saya. Kata-kata ibu berkenaan umpama air yang membasuh kotoran, saya mula meninggalkan dunia hubungan songsang berkenaan.

"Mungkin dulu, saya hanya mengikut kehendak wang ringgit semata-mata dan saya tidak mahu kecewakan ayah yang masih hidup, cukuplah dengan apa yang saya lalui dulu," katanya.

KES 2

Tak sanggup beri ibu bapa duit 'kotor'

"Kita kerja 'tidak elok', hasil daripada pendapatan itu diberikan kepada mak ayah di kampung.. Lama-lama menjadi darah daging mereka, kita sanggupkah untuk beri duit hasil daripada pendapatan yang tidak elok?"

Itu antara kata-kata seorang pendakwah yang menjentik hati seorang bekas 'mak nyah' ini sekali gus menjadi tekad dalam hidupnya untuk berubah dan meninggalkan dunia lorong berkenaan.

Bekas maknyah itu yang mahu dikenali sebagai Jac, 45, sudah meninggalkan kehidupan lorong berkenaan lebih lima tahun lalu dan mengetahui bahawa apa yang dilakukan selama ini adalah dilarang dalam agama.

Jac berkata, dia sedar tentang perbuatannya selama ini memang haram dan ditegah oleh agama, namun kerana mengikuti naluri 'kewanitaan' dan mahu memenuhi tuntutan perbelanjaan hidup di bandaraya.

"Mungkin ramai orang yang menyangka hidup senang lenang di lorong, hanya melayani sesiapa saja yang sudi untuk melanggan tetapi hakikat sebenarnya jauh berbeza.

"Hidup di lorong ini berdepan dengan rompakan, ada pelanggan yang melayani kita dengan kasar, pukul dan sebagainya.. Itu mungkin tidak diketahui oleh orang ramai.

"Jika diberi pilihan sekali pun saya tidak mahu berada di lorong, namun kerana desakan kewangan serta kehidupan di kotaraya memaksa saya untuk menampung perbelanjaan harian," katanya kepada Metro Ahad.

Dia berkata, selama bergelumang dengan keadaan berkenaan, dia cukup sedar bahawa apa yang dilakukan adalah sangat dilarang dalam agama namun mengalah dengan naluri diri sendiri.

Menurutnya, ada segelintir pendakwah atau ustaz yang memandang sinis kepada golongan ini dan ia sedikit sebanyak menjadi faktor penolakan untuk berubah.

"Bagaimanapun, Allah SWT itu Maha Mengetahui. Titik perubahan bermula apabila ada seorang ustaz ini mula mengajak saya dan rakan-rakan minum di kedai, dia bercakap tentang kehidupan.

"Pendekatan ustaz itu begitu menyenangkan saya dan lama kelamaan dia mengajak saya ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat, itu adalah nikmat paling besar yang pernah saya lalui.

"Bayangkan, selepas bertahun-tahun tidak menjejakkan kaki ke masjid, dapat berada di masjid dan mendirikan solat.. Saya tidak dapat gambarkan bagaimana perasaan gembira dan seronoknya ketika itu," katanya.

Sejak daripada itu, Jac berkata, naluri untuk memakai pakaian wanita semakin berkurangan dan ditakdirkan Allah SWT, dia mengikuti umrah pada 2016 hasil tajaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Alhamdulillah, kini saya dalam proses perubahan. Jika ada orang tanya saya adakah saya sedar tentang perbuatan saya dulu. Jawapannya, ya saya sangat sedar tentang kesalahan lalu," katanya.

Usah hembur kata-kata tak sepatutnya

Terdapat segelintir pendakwah yang bergelar 'ustaz' lebih gemar menghamburkan kata-kata tidak sepatutnya sehingga menjadi antara faktor penolakan penghijrahan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Presiden Pertubuhan Hijrah Republique Network, Mohd Al Khusyairi Mohd Ariff berkata, memang ada sekelompok kecil pendakwah seperti itu dan sedikit sebanyak menjadi faktor penolakan kepada komuniti ini untuk berhijrah.

"Saya akui memang ada yang begitu namun tidak ramai. Ada seorang dua saja yang begitu. Komuniti ini perlu didekati dengan bahasa komunikasi yang sepatutnya.

"Alhamdulillah, kami di Hijrah Republique mempunyai barisan ustaz yang sememangnya faham dengan komuniti ini dan tahu kaedah untuk menyantuni mereka.

"Kita sentiasa dekati komuniti ini terutamanya untuk menyampaikan mesej hak agama iaitu menyebarkan pengetahuan tentang Islam dalam kalangan ahli komuniti," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Di samping itu, Mohd Al Khusyairi berkata, stigma masyarakat juga sudah banyak berubah berbanding beberapa tahun lalu dan komuniti ini mendapat perhatian yang sewajarnya.

"Cuma mungkin masalah yang berlaku adalah disebabkan oleh komuniti itu sendiri, jika saya lihat kepada stigma masyarakat pada hari ini sudah sangat berbeza berbanding beberapa tahun sebelumnya," katanya.

Mengulas berkenaan aktiviti Hijrah Republique, beliau berkata, pihaknya aktif menganjurkan pelbagai kelas keagamaan untuk ahli komuniti.

"Pendekatan kami mudah saja iaitu kami tidak memaksa mereka, apa yang kita lakukan adalah menyantuni golongan ini dan Insya-Allah, hidayah itu milik Allah," katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2021 @ 8:01am
d