utama

'Keluarga kami memang jenis sporting' - Dr Nur Alwani

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Shah Alam: "Kami sudah bosan gambar raya yang biasa dan kerana itu kami sanggup angkat sofa bawa keluar rumah demi sebuah gambar raya unik," kata Dr Nur Alwani Raihan Mohd Syed.

Dr Nur Alwani, 28, yang bertugas di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Selayang berkongsi gambar raya keluarganya itu di media sosial peribadinya di aplikasi TikTok dan Instagram.

Hasil gambar keluarganya yang seakan-akan seperti sebuah poster filem itu turut dipuji warganet di ruangan komen media sosialnya.

Tidak hairanlah, gambar raya keluarganya itu yang disunting menjadi sebuah video juga mendapat perhatian warganet di aplikasi TikTok sehingga ditonton lebih 472,000 kali setakat ini sejak ia dimuat naik pada Ahad lalu.

Dia dan keluarganya yang juga menetap di Kuarters Institusi Pendidikan Kolej Vokasional Shah Alam bergambar di hadapan kediamannya pada pagi Syawal pertama lalu.

Menurutnya, gambar itu diambil hanya menggunakan telefon bimbit dan bantuan tripod, manakala proses penyuntingan gambar dibuat adik-beradik lelakinya Muhammad Al Amin, 26; Master Al Adham, 23, dan Mustaqim Al Aiman, 21.

"Idea 'pose' gambar itu spontan saja, gambar kedua kami inspirasikan daripada gaya tarian Zapin kerana berasal dari Johor.

"Gambar ketiga daripada filem terkenal Korea, Parasite bagi menampakkan ciri-ciri penjarakan sosial serta bertepatan dengan tema 'Raya PKP 3.O' tahun ini.

"Selain itu, kami juga menyunting gambar raya bertemakan perjuangan Palestin sebagai tanda solidariti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kongsinya, ibu bapanya, Mohd Syed Saleh dan Mahnon Shabudin yang masing-masing berusia 59 tahun sememangnya juga suka bergambar.

"Keluarga kami memang jenis 'sporting' dari kecil lagi, bab bergambar memang riuh, bising dan ada saja 'posing' masing-masing.

"Selalunya jumlah gambar diambil mencecah lebih 200 dalam satu masa tetapi kebanyakannya gambar tak jadi sebab bergerak melainkan untuk 'pose' yang sudah dirancang awal," katanya yang berasal daripada Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Nur Alwani berkata, suasana berkumpul bersama sanak saudara di kampung antara momen yang dirindui.

"Pun begitu, tidak bermakna larangan ziarah menyebabkan Hari Raya tahun ini disambut suram.

"Kerana itu, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami cari aktiviti keluarga yang boleh dibuat dalam rumah untuk menceriakan suasana dengan bergambar, bermain permainan dalaman, karaoke dan macam-macam lagi," katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2021 @ 8:00pm
d