utama

'Tunggu tahun depan, ya'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

TATKALA negara masih dibelenggu penularan wabak Covid-19 sehingga memberi kesan kepada industri muzik tempatan terutama dari segi persembahan pentas, Haqiem Rusli mengakui ada rahmat di sebalik apa yang berlaku.

Haqiem, 23, atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli bersyukur di sebalik ujian itu, dia masih beroleh rezeki daripada pelbagai cabang.

"Disebabkan banyak menghabiskan masa dengan bekerja di rumah, saya mula terbiasa dengan norma baharu ini.

"Alhamdulillah, rezeki untuk mempromosikan jenama produk seperti alat telekomunikasi dan kereta tetap menyebelahi saya. Malah tak lama lagi saya dan Sufian Suhaimi akan mengeluarkan bantal zikir, Baby Pian edisi istimewa.

"Koleksi bantal sebelum ini, ada suara Sufian membacakan zikir dan kalimah suci, tapi tak lama lagi, edisi kempen istimewa menggunakan suara saya juga," katanya

Mengenai projek seni pula, Haqiem belum terfikir mengeluarkan single baharu lagi selepas kali terakhir melancarkan single Mimpi pada hujung tahun lalu.

"Tahun lalu cukuplah saya keluar tiga lagu saja. Dua daripada single Adlina Marie dan Mimpi. Satu lagi lagu trio Purnama saya dengan Hael Husaini dan Naim Daniel

"Syukur alhamdulillah video muzik Mimpi pun sudah mencapai lebih 16 juta tontonan di YouTube. Setakat ini ada lagi tiga lagu sudah siap dirakamkan ciptaan saya sendiri juga.

"Cuma apabila difikirkan situasi semasa, baik saya lancarkan lagu baharu tahun depan. Malah ada lagu baharu berkenaan juga dijangka menjadi runut bunyi untuk drama terbitan Datuk A Aida," katanya.

Pada masa sama, Haqiem juga pemilik restoran stimbot Santhai Village turut berkongsi yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia belajar untuk tidak terlalu terikat dengan media sosial.

"Saya cuba untuk menjadi lebih terhad, sedikit 'mahal' dan eksklusif. Malah saya kini lebih sedar kehidupan realiti itu juga perlu seimbang dengan perkara lain. Tapi tak bermaksud saya nak kata dunia media sosial tak bagus.

"Saya masih sesekali bertanya khabar peminat, mengadakan sesi lintas langsung dan memuat naik hantaran di media sosial," katanya.

Menurut Haqiem, dia mula mengimbangi media sosial dengan kehidupan sebenar sejak dua tahun lalu, terutama selepas mendapat kecaman akibat pelbagai kontroversi.

"Sejak memenangi ABPBH 33, ada yang menasihati dan menegur saya dalam perkara ini. Dengan situasi semasa termasuk kuasa netizen, saya sedar tak semua perkara perlu dikongsi di media sosial.

"Kalau setiap saya kongsi gambar swafoto atau nyanyian 'cover' pun mesti ramai akan bosan. Saya ajar diri untuk tidak memuat naik hantaran sembarangan. Saya pun tak mahu berkongsi sesuatu yang boleh menjadikan ia bahan lawak.

"Saya mengambil contoh Datuk M Nasir yang sentiasa menjaga eksklusif dirinya. Biarlah sesekali saja saya muncul di media sosial, baru ramai akan rindu," katanya.

Tetap raya

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Haqiem berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah mengubah kemeriahan beraya bersama keluarga kecilnya.

Menurut Haqiem, dia sekeluarga beraya di Hulu Langat, Selangor saban tahun tidak pernah mengubah tradisi pagi hari raya.

"Paling penting tradisi bergambar dengan keluarga, bersalaman memohon keampunan tetap menjadi perkara wajib pada pagi raya. Foto keluarga itu jadi pelengkap merakamkan memori beraya.

"Biarpun dalam keadaan serba terbatas kerana tidak boleh beraya atau berkunjung ke rumah sanak saudara, ia bukan alasan untuk tidak menikmati Aidilfitri sebaik mungkin. Dapat beraya dengan ibu bapa, adik, abang dan kakak pun sudah memadai," katanya.

Haqiem juga berkongsi dia sempat mencuri masa membeli baju raya untuk dirinya dan keluarga sehari sebelum pelaksanaan PKP.

"Tahun ini saya dan keluarga sepakat memilih warna krim untuk digayakan pada hari raya pertama.

"Ikut rancangan asal nak tempah baju raya tapi dengan situasi pandemik yang tidak menentu, akhirnya nekad beli yang sudah siap," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2021 @ 7:00am
d