utama

'Hidup yang sibuk tiba-tiba terhenti'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Siapa tidak kenal Tiger Bukit Aman, beliau antara individu yang terbabit dalam menyelesaikan banyak kes jenayah selain membantu negara menangani Covid-19 bersama anak buahnya.

Bukan itu saja, malah beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan dalam sukan ragbi pada 1981 hingga 1986.

Bagaimanapun, Tiger akhirnya bersara minggu lalu selepas berjuang dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun dengan jawatan terakhirnya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Banyak pahit manis, suka duka kisah perjalanan perjuangan beliau dalam PDRM.

Ikuti wawancara bekas Pengarah JSJ Bukit Aman DATUK HUZIR MOHAMED bersama wartawan, NURUL HIDAYAH BAHAUDIN berkaitan perjuangannya sepanjang 39 tahun ini.

Selepas 39 tahun berbakti kepada masyarakat dalam PDRM, kini kembali menjadi 'orang biasa.' Komen?

Saya amat bersyukur kerana sudah sampai ke garisan penamat.

Umum tahu jawatan Pengarah JSJ boleh dikatakan sebagai 'kerusi panas' dalam PDRM namun saya bersyukur kerana tugas diamanahkan dapat dilaksanakan dan sudah pasti dengan bantuan anggota serta pegawai lain yang cukup komited serta berdedikasi.

Walaupun ada beberapa perkara yang dalam perancangan saya sepanjang bertugas tidak sempat dilaksanakan, secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan pencapaian JSJ sepanjang masa itu.

Saya sudah lakukan yang terbaik dan saya gembira dengan pelbagai kejayaan yang dicapai sepanjang tempoh berkenaan.

Rancangan Datuk selepas ini atau mungkin Datuk ada hobi yang mahu diteruskan?

Saya bekas pemain ragbi, malah pernah mewakili negara dan PDRM dalam sukan itu.

Sudah tentu saya akan cuba membantu dalam pengurusan dan menjadi penasihat kepada pasukan ragbi PDRM.

Namun ia mungkin akan dilaksanakan selepas pandemik Covid-19 reda.

Pada masa sama, beberapa bulan sebelum ini, saya ada melawat ladang durian dan sangkar ikan rakan yang sudah bersara.

Memang ada timbul minat untuk menceburi kedua-dua bidang ini jika berpeluang, namun saya akan buat keputusan dalam masa terdekat.

Tidak perlu lagi 'terkejar-kejar' mesyuarat penting, operasi banteras jenayah dan pelbagai lagi. Mungkin ada saat-saat itu yang Datuk rindukan?

Secara jujur, saya rasa agak kekok di peringkat awal persaraan ini kerana kesibukan harian sebelum ini tiba-tiba terhenti.

Sebelum bersara, pada setiap awal pagi di rumah, saya akan meneliti kandungan mesej dan membalas mesej penting terlebih dahulu sebelum menyemak jadual tugasan penting bagi hari berkenaan.

Apabila tiba di pejabat, boleh dikatakan, sudah ada pegawai sama ada dari Bukit Aman atau dari kontinjen negeri yang menunggu.

Kemudian saya perlu menyemak fail untuk tindakan segera diikuti dengan mesyuarat dan lain-lain program yang sudah dijadualkan.

Kemudian pada sebelah petang, baru ada masa untuk melihat fail-fail yang lain.

Apa yang saya mungkin rindukan adalah mesyuarat projek operasi kerana di sini saya rasa bidang kekuatan dan kelebihan dalam kerjaya saya dalam JSJ.

Dalam melaksanakan operasi, perancangan teliti dan mengambil kira pelbagai perkara amat penting bagi memastikan kejayaan.

Yang paling utama bagi saya kepuasan bekerja dan ditambah pula jika operasi berkaitan mencapai kejayaan diharapkan.

Datuk tinggalkan legasi besar dalam JSJ seperti tumpaskan kumpulan jenayah terancang, bantu kerajaan tangani Covid-19 seperti Kluster Sri Petaling dan banyak lagi. Komen?

Kelebihan pengalaman saya dalam risikan dan operasi menjadi kekuatan kepada kejayaan berkenaan ditambah dengan kepakaran anggota serta pegawai lain yang terbabit dalam sesuatu tugasan.

Pengalaman melaksanakan operasi di peringkat daerah, kontinjen negeri dan Bukit Aman juga memberi kelebihan kepada saya.

Selain itu, saya kenal dekat dengan anggota serta pegawai berkaitan serta apakah kepakaran, kelebihan dan keistimewaan dimiliki mereka.

Ia turut memudahkan saya menyelaras dan memberi arahan dalam mesyuarat perancangan sesuatu operasi.

Dalam beberapa ucapan lawatan sebelum bersara ke kontinjen negeri baru-baru ini, saya secara ikhlas menyatakan, tanpa pegawai dan anggota yang berkhidmat di bawah saya, tak mungkin saya berada di kedudukan berkenaan.

Melihat ke belakang, perkara duka serta membanggakan buat Datuk?

Antara yang membuatkan saya agak berduka ialah pembubaran Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

Kita sudah melatih anggota dan pegawai untuk menganggotainya namun akhirnya Stafoc dibubarkan.

Selain itu, ada juga tindakan diambil mengikut kesalahan di bawah jenayah terancang dengan pendakwaan dijalankan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Namun, pertuduhan ditukar kepada pertuduhan lebih ringan iaitu mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Ini termasuk penahanan lebih 400 individu yang dituduh di bawah Sosma namun pertuduhan ditukar kepada Akta Pertubuhan (1966).

Antara kumpulan kongsi gelap pernah ditumpaskan Geng Japan di Johor, Geng 24 (Pulau Pinang) dan Geng Pak Su (Kedah).

Timbul juga rasa sedih kerana tindakan sudah diambil namun jadi begitu (pertuduhan lebih ringan).

Dalam pada itu, ada kejayaan yang membanggakan saya apabila berjaya menyelesaikan kes bunuh yang menjadi perbualan ramai iaitu kes Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais yang bermula daripada kes orang hilang.

Apabila kami mengenal pasti bahawa dia diculik, siasatan dilakukan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Seterusnya membawa kepada penahanan suspek serta mayat mangsa. Malah, suspek kes itu turut berjaya dituduh di mahkamah.

Pesanan buat warga PDRM, khasnya JSJ.

Pada pendapat saya, pasukan JSJ ketika ini boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang.

Pesanan saya kepada pegawai dan anggota JSJ ialah, bekerja sebagai satu pasukan kerana dalam PDRM, tiada istilah lone ranger memandangkan kerjasama berpasukan adalah penting.

Dalam mesyuarat projek, saya sentiasa mengingatkan bahawa pandangan pegawai dan anggota tidak 'dibuang' begitu saja.

Pandangan mereka perlu dinilai, diperhalusi dan diambil kira.

Pada masa sama, saya tekankan kepada pegawai dan anggota supaya ikhlas dan memberikan 110 peratus komitmen mereka terhadap kerja.

Disiarkan pada: May 23, 2021 @ 7:01am
d