utama

Kematian tertinggi 61 kes hari ini, 6,509 kes baharu

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan kes kematian harian tertinggi akibat jangkitan Covid-19 iaitu 61 kes dilaporkan hari ini, berbanding 59 kes pada minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian baharu itu menjadikan jumlah kumulatif korban akibat wabak berkenaan bertambah kepada 2,309 kes.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 16 kes di Selangor diikuti 11 kes di Johor, masing-masing enam kes di Melaka dan Pulau Pinang, lima kes di Kuala Lumpur serta empat kes di Kedah.

Katanyta, selain itu, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang pula masing-masing tiga kes kematian, dua kes di Terengganu dan Perak serta Labuan masing-masing satu kes.

"Kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan semua warganegara berusia antara 40 hingga 98 tahun.

"Kebanyakan daripada mereka mempunyai pelbagai penyakit kronik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 6,509 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 518,600 kes dengan kebolehjangkitan 60,018 kes.

Beliau berkata, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 2,049 kes diikuti Sarawak (530), Johor dan Kuala Lumpur masing-masing melaporkan 468 kes.

"Terdapat 711 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 369 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Bilangan kes sembuh Covid-19 sebanyak 3,452 kes menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 456,273 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 24, 2021 @ 4:29pm
    d